
TAPAH, 7 Jun – Kisah pendaki wanita yang hilang selama lebih dua minggu di kawasan Gunung Batu Putih, Jaslinda Saludin, terus mendapat perhatian ramai selepas beliau ditemukan selamat hasil bantuan pelbagai pihak termasuk komuniti Orang Asli di kawasan berkenaan.
Terbaharu, satu perkongsian yang tular di media sosial mengundang perhatian ramai apabila memaparkan kisah menyentuh hati melibatkan komuniti Orang Asli yang membantu Jaslinda sepanjang tempoh kehilangannya di kawasan hutan.
Dalam perkongsian tersebut, masyarakat Orang Asli dikatakan sempat berpesan kepada Jaslinda, “kak, jangan lupa kami ye”, satu ungkapan ringkas yang menyentuh hati ramai dan mencerminkan keikhlasan mereka.
“Baiknya Orang Asli ni semua. Walaupun jumpa sekejap siap cakap, ‘kak, jangan lupa kami ye’.
“Semoga kak Jas cepat sembuh. Kuasa Allah, Allah Maha Besar lagi Maha Berkuasa. Masya-Allah,” tulis pemilik perkongsian tersebut.
Perkongsian itu turut disertakan dengan rakaman Jaslinda yang sedang menerima rawatan selepas berjaya dibawa keluar dari kawasan hutan.
Netizen Tersentuh Dengan Keikhlasan Orang Asli
Menjengah ke ruangan komen, ramai netizen mengakui tersentuh dengan ungkapan “kak, jangan lupa kami” yang dianggap lahir daripada keikhlasan dan kasih sayang masyarakat Orang Asli terhadap Jaslinda.
Ada yang berpendapat masyarakat Orang Asli memainkan peranan besar dalam usaha pencarian dan penyelamatan sehingga mangsa berjaya ditemukan dalam keadaan selamat.
“Orang Asli are the keepers of this earth. Semoga kita pertahankan hak Orang Asli di Malaysia,” tulis seorang pengguna.
Seorang lagi netizen berkata, “Pasti Jaslinda takkan lupa kamu. Orang baik tak mudah dilupakan. Terhutang budi pada kebaikan dan layanan mereka.”
Malah, ada yang menyifatkan ayat ringkas tersebut sebagai antara momen paling menyentuh hati dalam keseluruhan insiden berkenaan.
“Sedih pula dengar ‘kak, jangan lupa kami. Nanti kita jumpa lagi’. Orang baik, semua orang sayang,” komen seorang pengguna lain.
Simbol Kemanusiaan Di Sebalik Tragedi
Selain rasa syukur atas keselamatan Jaslinda, ramai melihat kejadian ini sebagai bukti nilai kemanusiaan yang masih utuh dalam masyarakat.
Mereka turut berharap hubungan yang terjalin antara Jaslinda dan komuniti Orang Asli yang membantunya sepanjang tempoh sukar itu akan terus berkekalan selepas ini.
Terdahulu, Jaslinda Saludin, 49, yang dilaporkan hilang ketika melakukan pendakian solo di Gunung Batu Putih sejak 23 Mei lalu, ditemukan selamat pada 6 Jun di kawasan berhampiran Pos Musoh, Perak sebelum dibawa ke hospital untuk menerima rawatan lanjut. – The Malaysian update
Sokong TMU
Jika anda menghargai usaha TMU dalam menyampaikan berita, maklumat dan isu semasa yang bermanfaat, anda boleh memberi sokongan secara sukarela.
Sokongan anda membantu kami terus menghasilkan laporan, artikel dan kandungan berkualiti untuk rakyat Malaysia.
The post “Kak, Jangan Lupa Kami Ya” – Keikhlasan Orang Asli Terhadap Jaslinda Sentuh Hati Rakyat Malaysia appeared first on The Malaysian Update.






