
TAPAH: Kisah pendaki wanita yang hilang selama 14 hari di Gunung Batu Putih, Jaslinda Saludin, 49, terus meraih perhatian ramai selepas beliau ditemui selamat dalam keadaan lemah berhampiran Kampung Lubuk Gaharu, Pos Musoh, baru-baru ini.
Namun apa yang lebih menyentuh hati ramai ialah Jaslinda dikatakan langsung tidak mengetahui bahawa kehilangan dirinya telah menjadi perhatian seluruh negara dan mencetuskan operasi mencari dan menyelamat (SAR) berskala besar.
Perkara itu dikongsikan menerusi satu hantaran yang tular di media sosial, memaparkan keadaan Jaslinda sejurus ditemui penduduk Orang Asli selepas hampir dua minggu bertahan hidup di dalam hutan.
“Dia tak tahu pun orang cari dia. Masuk TV ke, viral ke, semua mendoakan akak selamat,” tulis seorang pengguna media sosial.
Perkongsian tersebut mengundang pelbagai reaksi netizen yang meluahkan rasa syukur selepas Jaslinda ditemui dalam keadaan selamat walaupun terpaksa berdepan pelbagai cabaran sepanjang berada di dalam hutan.
Bertahan Hidup Dengan Sumber Air Hutan
Menurut laporan Bernama, Jaslinda mendedahkan beliau tidak mempunyai sebarang bekalan makanan sepanjang tempoh kehilangan itu dan hanya bergantung kepada sumber air yang ditemui di dalam hutan.
Beliau berkata, antara sumber yang diminumnya termasuk air dari aliran hutan serta air yang terkumpul di dalam periuk kera.
“Saya tiada makanan, saya dua minggu tak makan. Saya minum air, air hitam, air coklat dan air periuk kera,” katanya dalam satu rakaman video yang turut tular di media sosial.
Selain itu, Jaslinda turut memaklumkan beliau beberapa kali terjatuh ketika berusaha mencari jalan keluar dan meneruskan kelangsungan hidup sepanjang berada di kawasan berkenaan.
Ucap Terima Kasih Kepada Semua Yang Mendoakan
Selepas ditemui, Jaslinda turut mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang tidak putus-putus mendoakan keselamatannya sepanjang operasi SAR dijalankan.
Beliau juga memohon maaf atas kesulitan yang berlaku susulan kehilangan dirinya yang menggerakkan operasi pencarian melibatkan pelbagai agensi serta sukarelawan.
“Terima kasih, minta maaf semua menyusahkan,” katanya ringkas.
Sementara itu, ahli keluarga Jaslinda turut merakamkan penghargaan kepada pasukan penyelamat, komuniti Orang Asli serta semua pihak yang terlibat dalam usaha mencari mangsa sehingga berjaya ditemui.
Kisah ketabahan Jaslinda bertahan selama 14 hari di dalam hutan tanpa makanan kini menjadi inspirasi kepada ramai, selain mengundang rasa syukur apabila pencarian yang mendapat perhatian seluruh negara itu akhirnya berakhir dengan berita gembira. – The Malaysian Update
Sokong TMU
Jika anda menghargai usaha TMU dalam menyampaikan berita, maklumat dan isu semasa yang bermanfaat, anda boleh memberi sokongan secara sukarela.
Sokongan anda membantu kami terus menghasilkan laporan, artikel dan kandungan berkualiti untuk rakyat Malaysia.
The post “Dia Tak Tahu Satu Malaysia Cari Dia” – Jaslinda Rupanya Tidak Sedar Operasi Mencarinya Jadi Perhatian Negara appeared first on The Malaysian Update.





