HULU SELANGOR - "Kami sekeluarga reda. ALLAH lebih menyanyanginya,".
Itu luah Azman Abdul Aziz, 57, iaitu bapa saudara kepada Nur Izzati Humaira Azizul, 19, yang ditemui meninggal dunia selepas dipercayai tersesat di Bukit Changkat Asa di sini Sabtu lalu.
Menurut Azman, dia sekeluarga berharap agar anak saudaranya yang mesra dengan sapaan Kak Ngah itu dapat ditemui dalam keadaan selamat selepas kehilangannya beberapa hari lalu, namun apa yang berlaku adalah sebaliknya.
ARTIKEL BERKAITAN: Remaja perempuan hilang ketika mendaki di Tanjung Malim
Nur Izzati Humaira masih hilang, lokasi pencarian seluas 0.43km persegi
Polis teliti faktor luaran kes remaja sesat di Bukit Changkat Asa
'Masih bernyawa atau tinggal jasad, kami harap Nur Izzati ditemui' - Bapa
"Pemergian Kak Ngah yang juga anak kedua daripada empat beradik disifatkan kehilangan besar buat mereka.
"Dia (arwah) seorang anak yang baik, menghormati dan suka meluangkan masa dengan keluarga. Kehilangannya sangat dirasai kerana saya memang rapat dengan semua anak saudara termasuk Kak Ngah," katanya ketika dihubungi pada Selasa.
**media[3533528]**
Tambahnya, sejak hari pertama kehilangan, kami sekeluarga sudah berkumpul dengan sentiasa reda dan berharap dia ditemui selamat.
Kata Azman, pasukan penyelamat sudah berusaha sedaya upaya melaksanakan operasi dan hari ini (Selasa) Nur Izzati ditemui sudah meninggal dunia.
"Kami sedih namun reda termasuk ibu bapanya," ujarnya.
Kongsinya lagi, Nur Izzati bercita-cita mahu menjadi guru dan sedang menunggu keputusan permohonan ke Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Difahamkan, jenazah Nur Izzati akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Trolak Utara, Sungkai di Perak selepas semua urusan selesai.
"Saya mewakili keluarga mengucapkan terima kasih kepada pihak berkuasa, pasukan penyelamat, ketua kampung dan penduduk Kampung Changkat Asa yang membantu sepanjang operasi serta orang ramai yang mendoakan Kak Ngah," katanya.
Sinar Harian sebelum itu melaporkan mangsa ditemukan pada jam 11.58 pagi, Selasa oleh Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sebelum dihantar Hospital Kuala Kubu Bharu.
Mayat mangsa ditemui di kawasan kebun iaitu kira-kira 500 meter dari lokasi terakhir dilihat dan satu kilometer dari Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK).
Sebelum itu, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu telah digerakkan ke lokasi selepas menerima laporan kehilangan mangsa pada jam 1.28 petang, Sabtu lalu.





