Misteri kehilangan Nur Izzati sejak Sabtu terjawab, ditemukan meninggal dunia

26 May 2026 • 2:20 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

Image from: Misteri kehilangan Nur Izzati sejak Sabtu terjawab, ditemukan meninggal dunia

KUALA LUMPUR - Remaja perempuan berusia 19 tahun, Nur Izzati Humaira Azizul, yang hilang ketika mendaki di Bukit Changkat Asa, Tanjung Malim, Perak sejak Sabtu lalu, ditemui meninggal dunia tengah hari tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, mayatnya ditemui kira-kira 11.59 tengahari tadi.

“Mangsa ditemukan kira-kira 500 meter dari lokasi terakhir dia dilihat dan satu kilometer dari Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK).

“Pasukan SAR mengambil masa 20 minit membawa mayat ke PKTK menggunakan pengusung,” katanya, lapor Bernama.

Beliau berkata mayat diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat.

Media melaporkan Nur Izzati dikatakan terpisah daripada lima rakan serta ahli keluarganya yang melakukan aktiviti mendaki di lokasi berkenaan.

Mangsa dipercayai tersesat pada 10.50 pagi Sabtu lepas ketika menuruni bukit bersama-sama keluarganya selepas mengambil keputusan untuk berjalan sendirian supaya sampai lebih awal kerana berasa panas dan penat.

Mangsa kali terakhir dilihat memakai tudung labuh coklat, baju lengan panjang hijau gelap dan seluar panjang hitam serta kasut biru.

Berikutan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) segera dijalankan di kawasan mangsa dilaporkan kali terakhir dilihat iaitu di ketinggian kira-kira 234 meter.

Operasi berkenaan turut menggunakan khidmat dron dengan fungsi pengesan haba. - 26 Mei, 2026

The post Misteri kehilangan Nur Izzati sejak Sabtu terjawab, ditemukan meninggal dunia appeared first on Scoop.