
MANA tumpah kuah kalau tidak ke nasi? Itulah pepatah paling sesuai bagi menggambarkan bakat seni yang kini mengalir deras dalam diri anak-anak penyanyi popular, Lan Solo.
Bukan sekadar hobi kosong, malah permata hatinya kini mula menunjukkan minat mendalam untuk mengikut jejak langkah ke dunia glamor.
Lebih membanggakan, anak sulungnya, Nur Amna Qaleesya yang baru berusia 15 tahun telah berjaya mengharumkan nama negara di persada dunia.
Remaja berbakat besar itu muncul sebagai juara dalam kategori Tarian Kuartet di 3rd International Dance Competition 2025 yang berlangsung di Paris, Perancis.
Mewakili Sekolah Seni Malaysia Kuala Lumpur, kejayaan Amna Qaleesya itu membuktikan bahawa bakat anak tempatan mampu bersaing di peringkat antarabangsa.
Lan Solo atau nama sebenar Muhammad Razlan Mohamed Yusof bersama isterinya, Nur Sheila Hassim, meluahkan rasa syukur dan cukup bangga dengan pencapaian luar biasa anak mereka itu.

Bercerita mengenai kejayaan tersebut, Lan mengakui ia adalah satu kenangan yang cukup manis.
"Alhamdulillah, itulah kata orang, mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi, kan? Tapi saya sangat-sangat berbangga. Apa yang diimpikan, apa yang diinginkan, sebagai ibu bapa, kami hanya bagi dorongan dan sokongan.
"Ternyata rezeki untuk dia untuk meraih satu kejayaan yang cukup manis. Bukan saja pada diri dia, pada seluruh keluarga. Dan insya-ALLAH, seluruh sekolah juga," katanya memulakan bicara bersama SinarPlus dengan nada teruja.
Walaupun kini Amna Qaleesya lebih menonjol dalam bidang tarian, bekas vokalis kumpulan Kristal ini mendedahkan bahawa anak-anaknya sebenarnya sudah minat menyanyi sejak kecil lagi.
Bakat itu hadir dalam pelbagai bentuk yang mungkin tidak disangka-sangka pada awalnya.
"Actually, bukan tak ikut sejak langkah tau. Dari kecil, budak-budak ini memang suka bernyanyi je.
"Cuma tak sangka sekarang menari pula. Tetapi boleh dikatakan menyanyi pun dia boleh ada bakat. Hanya perlu dia bagi latihan yang cukup dan perlu digilap saja," kongsi bapa kepada empat cahaya mata ini tentang bakat terpendam anak-anaknya yang serba boleh.
Menyentuh tentang gaya didikan, Lan dan Sheila lebih selesa mengambil pendekatan yang santai dan tidak sesekali memaksa.
Bagi mereka, setiap anak mempunyai kecenderungan masing-masing dan tugas ibu bapa hanyalah untuk membimbing ke arah yang betul.

"Saya bukan seorang ayah yang... 'Kau buat ini, kau buat itu. Tak.' Saya tak pandai nak macam itu. Saya suka tengok ke mana arah perginya dan saya cuba mendorong ataupun membimbing. Itu je.
"Saya dengan Sheila lebih kepada... bukan nak kata kita keterbukaan, tapi bergantung kepada situasi semasa juga. Tidaklah semua benda kami menyekat. Tidaklah kami semua memberi. Cuma kami step by step.
"Melepaskan pun ada step. Boleh dan tak bolehnya. Jadi, itu membuatkan mereka tahu. Mereka sentiasa diawasi dan tidak melakukan perkara yang bukan-bukan," tegas Lan mengenai prinsip bimbingannya.
Berada dalam industri seni yang penuh cabaran, Lan sentiasa mengingatkan anak-anaknya bahawa setiap gerak-geri mereka sentiasa diperhatikan oleh rakan-rakan seperjuangan dalam industri.
"Sebab apa yang saya boleh katakan... Anak-anak saya bila mereka mencuba bidang sini... Selalu mak mereka kata... Jangan main-main ya.
"Dalam industri seni ini, ramai kawan-kawan dari ibu tahu. Jadi, di situ mereka lebih berkelakuan. Anak saya pergi menari di Gegar Vaganza, Big Stage, RTM dan sebagainya. Mesti akan selalu jumpa kawan-kawan kami.
"Sebab itu kadang-kadang mereka juga berkata... 'Eh, anak kau ada di sini. Menari di sini.' Sampai kadang-kadang kita pun tak tahu. Eh, anak kita menari di situ. Jadi, di situ saya beri lega juga. Bila ke mana saja mereka pergi, adalah mata memerhati," ceritanya lagi.
Sebagai figura awam, Lan tidak terlepas daripada kritikan orang sekeliling mengenai cara pembesaran anak-anak, namun dia memilih untuk memandangnya dari sudut positif demi kebaikan emosi cahaya matanya.
"Sebenarnya, kadang-kadang kita tak lepas daripada benda yang tidak-tidak. Kadang-kadang kita pun ada kesalahan yang kita tak sedar yang kita lakukan.
"Jadi, benda-benda macam itu... Macam kami sebagai ibu bapa ini, ambil cakna juga cadangan dari orang lain. Kalau ada yang nasihat, ini perbuatan yang kurang bagus untuk anak-anak, jadi kami cuba perbetulkan dari semasa ke semasa.
"Cuma dari segi emosi anak-anak pun... Kami cuba bentuk mereka ke arah yang positif. Mungkin teguran itu tandanya mereka prihatin kita.
"Mereka sayangkan kita. Mereka nakkan yang baik-baik daripada kita, jadi kita perbaiki apa yang kurang," ungkapnya dengan penuh hikmah.

Lan juga sering memberi kefahaman kepada anak-anaknya bahawa status sebagai anak selebriti bukan 'tiket mudah' untuk mereka terus berjaya tanpa usaha yang gigih.
Mereka perlu melalui proses pembelajaran yang sama seperti anak-anak lain.
"Anak-anak saya macam anak-anak lain juga. Bukan bangun terus berjalan dan berlari, kan? Mereka hanya merangkak dan berjalan. Melalui proses yang sama dengan anak-anak yang lain.
"Cuma kadang-kadang itu adalah situasi yang boleh dikatakan macam tak adil. Bila mereka buat, kena kecam. Mereka buat, kena tegur. Apa yang saya boleh katakan kepada mereka... 'Kakak anak siapa? Kakak anak daddy. Jadi, daddy pekerjaan daddy apa?.
"Jadi, kita kena terangkan langkah demi langkah supaya mereka boleh menerima. Jadi, hari demi hari, minggu demi minggu, penerimaan itu nampak. Mereka lebih positif.

"Mereka kurang baca komen. Tapi kadang-kadang kalau ada orang yang menyampaikan cerita-cerita macam itu, penerimaan mereka itu lebih berbeza daripada dulu. Lebih positif," ujar Lan mengakhiri bicara dengan penuh harapan buat masa depan anak-anaknya.
