
BATU PAHAT – Seorang wanita sanggup meredah perjalanan lebih 100 kilometer dari Melaka ke bandar ini untuk bertemu kekasihnya sebelum pasangan itu dicekup berkhalwat di sebuah hotel di sini malam tadi.
Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dalam kenyataan berkata, wanita berusia lingkungan 30-an yang bekerja sebagai penjawat awam itu ditahan bersama teman lelakinya berstatus duda, 30-an kira-kira pukul 11.35 malam.
Menurut JAINJ, pasangan terbabit memberikan pelbagai alasan bagi mengelakkan tindakan penguatkuasaan, termasuk mendakwa sudah bernikah selain lelaki berkenaan turut dipercayai mempunyai rekod dikehendaki polis berkaitan satu kesalahan jenayah lain.
Bagaimanapun, JAINJ berkata, pasangan terbbait gagal mengemukakan sebarang dokumen atau bukti sokongan termasuk gambar pernikahan mereka.
“Hasil soal siasat mendapati, pasangan itu mula berkenalan menerusi media sosial kira-kira dua bulan lalu sebelum merancang untuk mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat. Wanita berkenaan juga dipercayai baru beberapa bulan berpisah dengan suaminya,” kata kenyataan itu.
Pasangan itu akan didakwa mengikut Seksyen 27 Akta Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor atas kesalahan berkhalwat.
Tambah JAINJ, lelaki terbabit kini berada dalam tahanan pihak berkuasa untuk siasatan lanjut. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Kakak gomen’ sanggup datang jauh jumpa kekasih, akhirnya dicekup khalwat appeared first on Kosmo Online.




