Kakitangan awam tekad kekalkan Selangor di bawah Kerajaan Perpaduan

24 Jun 2023 • 12:11 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

SHAH ALAM, 24 JUN: Kakitangan awam Selangor tekad memainkan peranan bagi memastikan negeri itu kekal kubu Kerajaan Perpaduan selaras seruan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Penolong Pegawai Tadbir Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Noraini Roslan berkata segala inisiatif yang dilaksana Kerajaan Negeri selama ini akan dihebahkan kepada rakyat.

“Saya setuju dengan seruan dibuat beliau (Anwar) kerana sistem dan pentadbiran negeri di bawah kerajaan sekarang diurus sangat baik. Jadi ia wajar dikekalkan supaya Selangor terus berkembang.

image is not available
Penolong Pegawai Tadbir Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Noraini Roslan. Foto ZAREEF MUZAMMIL/SELANGORKINI

“Malah kita lihat Selangor semakin ke depan khususnya aspek ekonomi kerana pemimpinnya cekap. Begitu juga inisiatif yang dibuat membantu rakyat.

“Maka sebagai penjawat awam, kamilah yang perlu berperanan menguar-uarkan (inisiatif) kepada rakyat,” katanya yang sudah 17 tahun berkhidmat di pihak berkuasa tempatan itu.

Sementara itu, pegawai operasi Unit Pemberdayaan Pekerja Selangor (UPPS) berkata pihaknya akan meneruskan usaha membantu graduan dan penganggur negeri itu mendapat kerja sebagai salah satu usaha mengekalkan kerajaan sedia ada.

Albert Jayraj mengakui pekerjaan menjadi indikator penting bagi menjamin kestabilan sesebuah kerajaan.

image is not available
Pegawai Operasi Unit Pemberdayaan Pekerja Selangor (UPPS) Albert Jayraj. Foto ZAREEF MUZAMMIL/SELANGORKINI

“Itu antara peranan kita boleh mainkan sebagai penjawat awam yang mengurus unit pemberdayaan pekerja. Saya yakin jika aspek pekerjaan ditambah baik, Kerajaan Perpaduan boleh kekal di Selangor,” katanya.

Seorang lagi kakitangan awam yang mahu dikenali sebagai Rojer Chin mahu menyebar luas program negeri dijalankan selama ini kepada rakyat Selangor termasuk Rancangan Selangor Pertama (RS-1).

“Kita kena kekalkan kerajaan sedia ada di Selangor kerana urus tadbir pemimpin sekarang sangat baik selain banyak program diperkenalkan untuk manfaat segenap lapisan masyarakat.

image is not available
Kakitangan awam Selangor Rojer Chin. Foto ZAREEF MUZAMMIL/SELANGORKINI

“Sebagai penjawat awam, kita akan pastikan rakyat tahu manfaat ini sekali gus menarik minat untuk pertahankan kerajaan,” katanya.

Pada 12 Jun lalu, Anwar menyeru kakitangan awam Selangor mempertahan negeri ini sebagai kubu Kerajaan Perpaduan berikutan prestasi terbaik dicatat selain komitmen menyelamatkan negara.

Pemimpin nombor satu negara itu turut mengajak kakitangan kerajaan supaya berani mengembalikan maruah dan imej Malaysia sebagai negara hebat di rantau ini.