
CARACAS – Kakitangan awam Venezuela akan bekerja dengan waktu dikurangkan bagi mengurangkan tekanan ke atas rangkaian gred elektrik negara yang kian usang, kata Presiden Interim Delcy Rodriguez semalam.
Kerajaan bercadang mencatu bekalan elektrik memandangkan penggunaan domestik yang mencapai paras tertinggi dalam tempoh hampir satu dekad.
Gangguan bekalan elektrik yang semakin kerap di luar Caracas telah mencetuskan tunjuk perasaan di seluruh Venezuela sejak beberapa minggu lalu.
Pengurangan waktu kerja bagi sektor awam itu akan melibatkan ‘bekerja selang sehari’ dan separuh hari untuk semua pekerja kecuali perkhidmatan penting seperti penjagaan kesihatan, kata Rodriguez.
Kelmarin menyaksikan permintaan elektrik pada tahun ini memuncak kepada 15,726 megawatt walaupun kerajaan mampu menjana sekitar 12,000 megawatt tenaga sahaja, katanya.
Rodriguez yang menggantikan presiden Nicolas Maduro selepas penyingkirannya oleh tentera Amerika Syarikat pada Januari lalu, mentadbir di bawah tekanan hebat Washington untuk membuka ekonomi dan sumber Venezuela kepada syarikat asing. – AFP
The post Kakitangan awam Venezuela kerja selang sehari appeared first on Kosmo Digital.


