“Kalau ada dua tempat Timbalan Presiden PKR, dua-dua saya sokong..” – Anwar puji calon layak

LocalPolitics
19 May 2025 • 9:45 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan ahli dan penyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR) supaya tidak memberi komen melampau terhadap calon yang bertanding dalam pemilihan parti sehingga boleh menyebabkan perpecahan.

Beliau berkata semua calon yang bertanding, termasuk bagi jawatan tertinggi, merupakan individu yang telah lama berkorban dan berjasa kepada perjuangan PKR.

image is not available

Timbalan Presiden PKR? Anwar puji semua calon layak

Katanya, beliau menyokong semua calon kerana mereka mempunyai kelayakan masing-masing, namun jumlah jawatan yang tersedia adalah terhad.

“Kalau saya ada dua tempat untuk Timbalan Presiden misalnya, dua-dua saya sokong.
“Kalau ada 11 tempat Naib Presiden, semua saya sokong,” katanya ketika berucap merasmikan Pejabat PKR Langkawi di sini, hari ini.

image is not available

Anwar turut menyeru ahli parti supaya menjaga adab dan akhlak dalam bersaing, terutama apabila melibatkan pemimpin yang sudah lama berjuang sejak awal penubuhan PKR.

Katanya, perbezaan pandangan tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk menjatuhkan martabat mana-mana calon, sebaliknya semua pihak perlu menunjukkan rasa ihsan dan hormat terhadap perjuangan mereka.

“Kalau kita tak pilih, janganlah rendahkan martabat orang lain, ini disebut adab dan akhlak dalam perjuangan,” tambah beliau.

image is not available Dalam pada itu, Anwar turut mengingatkan bahawa PKR dibina berasaskan prinsip nilai, akhlak dan perjuangan rakyat, dan bukannya politik permusuhan sesama sendiri.