PKR Perlu Terus Jadi Contoh, Hidupkan Idealisme Perjuangan - Anwar

LocalPolitics
19 May 2025 • 8:48 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Anwar Ibrahim menyantuni ahli PKR Langkawi ketika merasmikan pejabat PKR Cabang Langkawi - Gambar PMO

KUALA LUMPUR - Parti Keadilan Rakyat (PKR) perlu terus tampil sebagai contoh, untuk menjadi tauladan dari aspek menggilap serta menghidupkan idealisme. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perjuangan parti yang wujud sejak sekian lama tidak boleh dibiarkan hancur hanya kerana bibit persaingan peribadi.

Menurut beliau, PKR ketika ini amat memerlukan kekuatan dan buah fikiran semua pihak untuk menghadapi pelbagai tantangan yang merundung dunia.  

“KEADILAN mesti muncul dan paculkan sikap yang matang dan berhemah terutamanya dalam usaha dan upaya kita mengemudi negara bersama rakan-rakan di dalam Kerajaan MADANI,” katanya menerusi perkongsian di Facebook. 

Anwar yang juga Presiden parti menyatakan demikian selepas merasmikan pejabat PKR Cabang Langkawi hari ini. 

image is not available
Gambar PMO

Beliau usai majlis turut berkesempatan mengadakan sesi wacana bersama pimpinan dan anggota petang tadi.

“Saya ingatkan pimpinan cabang Langkawi serta Kedah khususnya untuk mempergiat usaha santuni masyarakat dan memberi penerangan kepada mereka terkait pelbagai dasar dan kebijakan Kerajaan MADANI.

“Berbaki beberapa hari lagi sebelum kita berkumpul di Johor Bahru selain menentukan pimpinan di peringkat Pusat, Angkatan Muda dan Wanita, saya juga tegaskan keperluan kepada semua yang bertanding untuk berkempen secara sihat dalam suasana kekeluargaan,” katanya. 

Tegas Perdana Menteri, semua pihak perlu menghentikan siri cercaan dan pergelutan sesama anggota.

“Kita mesti kembali kepada jalur untuk merangkul kekuatan secara bersama selain mengangkat nilai dan akhlak yang baik.

“Mari bersama hidupkan semangat kekeluargaan yang erat, perkuat barisan dan jentera parti dan terus gilap semangat serta idealisme,” katanya. 

Pengundian peringkat pusat PKR bakal berlangsung 23 Mei nanti.

Antara tumpuan utama ialah dua calon Timbalan Presiden, Nurul Izzah Anwar dan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli yang juga penyandang. - Getaran, 19 Mei 2025