
GEORGE TOWN – Golongan pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan dinasihatkan supaya tidak menjadikan kekangan kewangan sebagai alasan untuk menolak tawaran melanjutkan pengajian ke menara gading.
Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata, pihak universiti sentiasa berusaha memastikan kebajikan pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan terjamin sepanjang tempoh pengajian mereka.
Menurutnya, seramai 5,804 pelajar baharu menerima tawaran untuk mengikuti pengajian di USM pada sesi kali ini, termasuk pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah atau golongan B40.
“Kalau mendapat tawaran, jangan tolak kerana masalah kewangan. Maklumkan kepada pihak universiti mengenai masalah yang dihadapi dan kita akan cuba membantu.
“Sebagai contoh, jika tidak mempunyai wang untuk datang ke universiti, kita boleh membantu dari segi pengangkutan. Begitu juga jika mereka menghadapi masalah untuk membeli barangan keperluan pada awal pengajian,” katanya pada sidang mediia kemasukan pelajar baharu ke USM Program Pengajian Ijazah Sarjana Muda Sidang Akademik 2026/2027 di sini, hari ini.
Katanya, USM menyediakan pelbagai bentuk bantuan menerusi inisiatif seperti Dapur Madani serta bantuan zakat, wakaf dan infak bagi memastikan pelajar tidak tercicir akibat masalah kewangan.
“Jika tidak mampu membayar yuran asrama, kita boleh pertimbangkan pengecualian. Yang penting, mereka datang ke universiti dan belajar.
“Kita tidak mahu kemiskinan menjadi penghalang sehingga anak-anak daripada keluarga susah tidak mempunyai peluang untuk melanjutkan pelajaran.
“Kita berada di sini untuk mengubah bukan sahaja nasib anak itu, tetapi keluarga dia, dan masyarakat sekitarnya. Itu tujuan USM. Kita nak sentiasa membantu anak-anak ini menjadi lebih baik,” katanya.
Beliau memberitahu lagi, pihak universiti juga mengambil pendekatan turun padang dengan menziarahi kediaman keluarga pelajar yang memerlukan bagi memahami keadaan dan keperluan mereka.
“Bukan sahaja anak-anak B40 tapi M40 juga kami bantu. Jika layak kami (bersama 26 pegawai) turun padang pergi lihat sendiri mereka di rumah,” ujarnya.
“Kita mahu mereka belajar dengan baik tanpa perlu bimbang tentang makan, tempat tinggal dan keperluan lain supaya dapat memberikan sepenuh tumpuan kepada pendidikan.
“Tujuan kita adalah untuk mengubah bukan sahaja nasib anak itu, tetapi juga keluarga dan masyarakat di sekelilingnya,” ujarnya.
Selain itu, katanya, USM buat pertama kali tahun ini menyediakan Biasiswa Pelajar Terbaik Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) kepada seorang pelajar yang ditawarkan mengikut pengajian di USM.
Tambahnya lagi, universiti berkenaan juga buat julung kalinya menawarkan Program Kejuruteraan Elektronik (Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektonik dengan Kepujian) oleh Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (PPKEE) di bahagian pulau. -KOSMO ONLINE
The post Kalau dapat tawaran U, jangan tolak kerana masalah kewangan – NC USM appeared first on Kosmo Online.





