‘Tiba masa Tik balas jasa datuk, nenek’

14 Sep 2026 • 3:19 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: ‘Tiba masa Tik balas jasa datuk, nenek’

GEORGE TOWN – Setelah 20 tahun dibesarkan datuk dan nenek, pelajar baharu Universiti Sains Malaysia (USM), Nurul Atiqah Husna, Azli,19 kini nekad membalas pengorbanan mereka dengan menuntut ilmu dalam bidang pendidikan.

Anak jati dari Pasir Mas, Kelantan itu berkata, kejayaan melangkah ke menara gading bukan sekadar impian dirinya, sebaliknya menjadi hadiah buat datuk dan nenek yang membesarkannya sejak berusia dua bulan.

Dia yang lebih mesra disapa sebagai Tik berkata, neneknya, Noriah Mohamad Zain, 66, sanggup bekerja sebagai tukang sapu di sebuah sekolah rendah sehingga usia tersebut demi menampung keperluan pendidikan dan kehidupannya.

“Selepas nenek berhenti bekerja pada Jun lalu, saya sedar sudah tiba masanya untuk saya pula berusaha membalas jasa mereka.

“Nenek dan datuk sudah banyak berkorban untuk saya. Mereka menggalas tanggungjawab membesarkan saya walaupun sebenarnya itu bukan tanggungjawab mereka,” katanya ketika ditemui di USM di sini, hari ini.

Tik berkata, datuknya, Abdul Ghani Musa, 70, pula tidak lagi bekerja sejak 2007 selepas terbabit dalam kemalangan motosikal yang menyebabkan dia mengalami masalah pada bahagian lutut.

“Sejak itu, hanya nenek yang bekerja dan menggalas tanggungjawab membesarkan saya sehingga saya berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat universiti.

“Saya sangat bersyukur kerana Allah SWT menghantar datuk dan nenek dalam kehidupan saya dan mereka membawa saya hingga ke tahap ini,” katanya.

Beritahu Tik lagi, dia kini berjaya mendapat tempat dalam Program Pengajian Ijazah Pertama (PPIP) Sejarah, Pendidikan di USM dan bercita-cita menjadi seorang guru.

Dalam pada itu,.bagi menampung keperluanya sendiri, Atikah turut bekerja sambilan sebagai hos siaran langsung (live host) dari April hingga Ogos lalu.

“Saya tidak pernah berputus asa dalam pelajaran kerana saya tahu saya ada potensi dan saya sentiasa mencari saluran bantuan yang ada,” katanya.

Sementara itu, Noriah berkata, dia bersyukur melihat cucunya kini berjaya melangkah ke menara gading selepas segala pengorbanan yang dilakukan sejak Tik masih kecil.

Beritahunya, dia tidak mengharapkan apa-apa selain melihat Tik berjaya dalam kehidupan dan mampu menjaga keluarganya kelak.

“Saya bangga dan inilah harapan nenek. Semoga Atikah berjaya dan dapat menjamin masa depan.
Belajar dan berjaya. Jangan lupa solat dan sentiasa ingat Allah kerana Allah sentiasa bersama kita,” katanya dalam masa sebak. -KOSMO! ONLINE

The post ‘Tiba masa Tik balas jasa datuk, nenek’ appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved