
PUTATAN: Ketua Parti Gagasan Rakyat Sabah Bahagian Tanjung Aru, Datuk Awang Ahmad Sah Sahari menyifatkan slogan ‘Malaysia For Sabahan’ (M4S) dicanangkan Datuk Seri Ahmad Maslan sebagai retorik pilihan raya.
Wakil rakyat Petagas itu turut mempersoalkan kewajaran M4S yang dibangkitkan ketika wilayah ini bakal menghadapi pilihan raya negeri (PRN17) kerana Malaysia bukan untuk Sabah saja tetapi untuk semua rakyat Malaysia.
Pada masa sama, katanya, jika M4S ikhlas seperti dinyatakan, maka Sabah sebagaimana Sarawak dan Semenanjung sebagai rakan kongsi pembentukan Malaysia, harus menerima layanan setara.
window.googletag = window.googletag || {cmd: []};googletag.cmd.push(function() {googletag.defineSlot('/22826383987/dailyexpress_inline', [1, 1], 'gpt-passback').addService(googletag.pubads());googletag.enableServices();googletag.display('gpt-passback');});“Terima kasih kerana memberi perhatian kepada Sabah, walaupun bunyinya sedap, namun bagi saya slogan M4S adalah retorik pilihan raya memandangkan Sabah kini di ambang PRN17.
“Jangan mengatakan sedemikian kalau hanya mahu menyenangkan hati orang Sabah, sebaliknya lakukan apa yang rakyat Sabah mahukan iaitu hak Sabah sebagai rakan kongsi dalam Malaysia ditunaikan.
“Malaysia untuk semua rakyat Malaysia, bukan untuk Sabah saja,” katanya ketika ditemui di Majlis Penyerahan Warta Kampung Serigai dan Jalan Indah, di sini, Selasa.
Beliau mengulas kenyataan Ketua Seketariat ‘War Room’ Umno Pusat, Ahmad Maslan yang menekankan M4S dalam kalangan rakyat Sabah berbanding slogan ‘Sabah For Sabahan’ (S4S) menjelang PRN17 ini.
Ahmad telah mengatakan bahawa konsep M4S mempromosikan perpaduan, integrasi, dan kesaksamaan nasional dalam konteks Persekutuan Malaysia sambil menghormati hak dan kepentingan rakyat di negeri ini.
Dalam pada itu, Awang menegaskan, sekiranya wilayah ini penting kepada Malaysia sebagaimana slogan M4S, sewajarnya hak Sabah ditunaikan seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Antaranya, kata beliau, bayaran royalti petroleum sebanyak 40 peratus oleh Kerajaan Persekutuan, namun yang berlaku ketika ini, Sabah hanya menerima lima peratus.
Katanya, isu itu harus segera diselesaikan dan walaupun kerajaan persekutuan belum bersedia sepenuhnya, sekurang-kurangnya bayaran royalti itu dinaikkan ke kadar sewajarnya.
“Jika belum bersedia, mungkin kerajaan persekutuan boleh bayar 15 peratus dulu kemudian setiap lima tahun sekali, semakan semula dibuat untuk naikkan kadar royalti dan seterusnya hingga memenuhi tuntutan MA63.
“Justeru, amalan persekutuan yang sihat diperlukan untuk tujuan ini yang jika dilaksanakan, maka agenda nasional dalam slogan M4S itu akan dilihat relevan,” tegasnya.
