‘Kalau muncul komen yang bukan-bukan, saya tak layan’

Entertainment
6 Oct 2026 • 8:10 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: ‘Kalau muncul komen yang bukan-bukan, saya tak layan’

MEMBIARKAN kecaman berlalu, pelakon Azar Azmi memilih enggan menjadi hamba media sosial apabila menyibukkan diri dengan kerja serta menguruskan keluarga berbanding ‘melekat’ di skrin telefon.

Namun, Azar atau nama sebenarnya, Siti Azar Ameerah Azmi, 36, berkata, sebagai manusia biasa, dia tetap mempunyai perasaan yang mudah tersentuh, sekali gus cuba mengabaikan anasir negatif yang boleh mengganggu emosi.

“Sebenarnya saya tidak membiasakan diri saya menjadi hamba online (media sosial) dengan membaca kutukan atau kecaman. Kebanyakan komen buruk, bukan kritikan membina tak perlu kita simpan.

“Ada yang kita baca, boleh ambil iktibar. Ada yang kita tengok, kita boleh simpan dan ada yang kita lihat, kita just swipe (abaikan).

“Mana yang okey kita ambil, mana yang tak okey biarkan saja. Pada saya, lebih baik begitu daripada biarkan komen pedih bagi tekanan,” katanya ketika ditemui selepas sidang media konsert Elegant Selamanya, baru-baru ini.

Menurut pelakon drama Bisikan Dosa itu, dia juga tidak berminat melayan individu yang sengaja melakukan provokasi di media sosial kerana tindakan tersebut hanya akan memburukkan lagi situasi.

“Kalau muncul komen yang bukan-bukan, saya tak layan sebab kadangkala orang jenis macam ini, lagi kita layan lagi menjadi-jadi.

“Kita tak tahu dia itu siapa. Dia mungkin golongan yang kekurangan sesuatu atau dia cuma berseloroh. Jadi tak perlu pun hal tak penting begitu kita ambil peduli,” ujarnya.

Mengulas mengenai aplikasi Threads yang sering menjadi medan perdebatan netizen, Azar berkata, platform digital bukan punca kepada sesuatu kandungan menjadi negatif, sebaliknya pengguna sendiri yang menentukan ‘wajah’ sesebuah aplikasi.

“Bagi saya, Threads itu sendiri cuma sebuah aplikasi. Kandungan di dalamnya yang menjadikan sesuatu platform itu baik atau buruk.

“Kita tak boleh menyalahkan dengan sebut aplikasi A atau aplikasi B salah. Sebenarnya orang yang berada dalam dalam platform itu sendiri yang bentuk sesuatu aplikasi terbabit menjadi buruk atau baik.

“Saya mungkin ada semua aplikasi, tetapi hanya Threads yang saya tiada. Saya belum daftar Threads lagi dan saya rasa kalau nak ‘masuk’ dalam tempat yang dikatakan banyak negatif itu, tak payahlah,” katanya.

Bagaimanapun, Azar mengakui dirinya masih dalam proses membiasakan diri dengan perhatian serta komen orang ramai apabila kembali aktif selepas beberapa tahun menyepi.

Begitupun, dalam melalui perjalanan kerjaya seni selain berdepan pelbagai kritikan, dia tidak menganggap dirinya kebal kecaman.

“Nak kata lali itu tidak, masih dalam fasa membiasakan diri. Untuk kata saya kebal pun tidaklah. Kita manusia, kita pun ada hati dan perasaan.

“Kadangkala kata orang itu kita boleh tersinggung, tetapi seperti saya cakap, tak semua pun untuk kita tunjuk benda itu kepada orang,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Azar berkata, dia kini kembali memberi fokus kepada kerjaya lakonan selepas melalui beberapa tahun yang mencabar dalam kehidupan peribadinya.

Menyentuh mengenai komitmen dengan konsert Elegant Selamanya yang berlangsung pada 30 Oktober ini, Azar selaku duta produk Elegant Cosmetic, akan muncul di pentas Zepp Kuala Lumpur. Penyanyi lain yang memanaskan konsert sempena ulang tahun ketujuh syarikat penganjur, termasuklah Datuk Ziana Zain, Erra Fazira dan Adira.

The post ‘Kalau muncul komen yang bukan-bukan, saya tak layan’ appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved