KUALA TERENGGANU – Kerajaan Terengganu mencabar mana-mana pihak yang mahu menganjurkan festival 'Rain Rave' supaya menjadikan negeri itu sebagai medan eksperimen bagi menguji kesesuaian acara berkenaan dengan konteks budaya dan syariat setempat.
Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, sekiranya mahu melaksanakan acara sedemikian, penganjur perlu bersedia untuk mengikuti acuan dan identiti yang telah ditetapkan oleh kerajaan negeri.
"Kalau nak 'test market' Rain Rave, jadikan Terengganu sebagai medan eksperimen. Datang Terengganu, ikut cara Terengganu," katanya bagi mengulas kenyataan Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali yang mempertahankan penganjuran festival tersebut atas faktor ekonomi.
Menurut Razali, hujah 'ekonomi pelancongan' yang digunakan oleh pemimpin DAP itu bersifat simplistic (terlalu mudah) dan tidak boleh dijadikan alasan untuk menghalalkan apa sahaja bentuk hiburan.
Tegas beliau, Terengganu mempunyai identiti tersendiri yang terbukti berjaya menarik pelancong tanpa perlu mengimport elemen budaya luar yang boleh menjejaskan keharmonian sosial.
"Terengganu sudah buktikan, tanpa perlu 'import budaya luar' pun boleh berjaya. Lihat sahaja Karnival Candat Sotong, Marang Water Fest, dan Swimathon Kapas Marang.
"Puluhan ribu pelancong hadir, ekonomi bergerak, namun identiti tetap terjaga. Itu pendekatan kita yang selari dengan syariat dan mandat rakyat," katanya.
Beliau turut mempersoalkan impak sebenar penganjuran festival seperti Rain Rave yang didakwa mampu merangsang ekonomi, terutama dari sudut kos sosial jangka panjang.
"Soalnya, siapa yang paling untung? Berapa banyak limpahan sebenar kepada rakyat tempatan dan apa kos sosialnya? Jangan ukur kesejahteraan dengan angka semata-mata kerana ia merangkumi maruah budaya dan arah tuju generasi akan datang," tambahnya lagi.
Terdahulu, Sheikh Umar menerusi hantaran di media sosial mempertahankan pandangannya bahawa acara seperti Rain Rave wajar dilihat sebagai sebahagian daripada industri 'tourism economy' yang kompetitif bagi merangsang sektor perhotelan dan perkhidmatan.
Sheikh Umar turut menyifatkan perbincangan berhubung festival itu tidak sepatutnya terperangkap dalam kerangka 'hitam-putih' semata-mata.



