KUALA TERENGGANU - Prestasi sektor pelancongan negara tidak seharusnya bergantung kepada penganjuran hiburan melampau semata-mata sebaliknya perlu berpaksikan kepada keunikan produk tempatan dan kekayaan budaya sedia ada.
Pegawai Khas (Hal Ehwal Bukan Islam) Pejabat Menteri Besar Terengganu, Dr Balachandran Gopal Krishnan berkata, kenyataan sesetengah pihak yang mengaitkan penganjuran Rain Rave bagi mengelakkan sektor pelancongan menjadi 'lesu' adalah satu persepsi yang mengelirukan.
Menurut beliau, kekuatan sebenar pelancongan Malaysia terletak pada kestabilan pendekatan yang diambil serta pemeliharaan identiti nasional tanpa perlu meniru budaya asing yang tidak berakar dalam konteks tempatan.
"Pengalaman semasa jelas menunjukkan Terengganu mencatatkan peningkatan ketara dengan kehadiran 2.45 juta pelancong bagi suku pertama tahun 2026, berbanding 2.03 juta pada tempoh sama tahun lalu.
"Lonjakan ini menjana pendapatan antara RM700 juta hingga RM900 juta, sekali gus membuktikan pelancongan berasaskan budaya dan alam semula jadi mampu berkembang tanpa bergantung kepada hiburan keterlaluan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai penganjuran festival Rain Rave di Bukit Bintang baru-baru ini serta kenyataan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok yang menyentuh soal daya saing pelancongan negara.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa festival luar seperti Songkran mempunyai latar belakang budaya yang jelas, manakala acara komersial seperti Rain Rave tidak mempunyai akar budaya tempatan yang kukuh.
Jelasnya, sebagai sebuah negara yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan, setiap bentuk hiburan mestilah disesuaikan dengan nilai, adab dan batasan yang dihormati oleh majoriti rakyat.
"Penganjuran acara seumpama itu menimbulkan sensitiviti kerana melibatkan unsur percampuran bebas dan hiburan berlebihan yang tidak selari dengan norma masyarakat.
"Ini bukan soal menolak hiburan secara keseluruhan, tetapi menuntut agar ia disesuaikan dengan nilai dan cara hidup kita," jelasnya.
Dalam pada itu, beliau turut menjadikan Terengganu sebagai model seimbang di mana pembangunan pelancongan berjalan seiring dengan pemeliharaan nilai syariat.
"Kejayaan Terengganu menafikan tanggapan bahawa dasar berteraskan nilai akan melemahkan pelancongan. Hakikatnya, setiap hujung minggu dan musim cuti, negeri ini sentiasa dipenuhi pelancong yang tertarik dengan aktiviti pelancongan yang menepati aspek pematuhan syariah.
"Kita mahu Malaysia maju bukan sahaja dari segi ekonomi, tetapi juga tinggi nilai budaya, akhlak dan jati dirinya selari dengan prinsip Rukun Negara," katanya.






