‘Kalau saya lambat mati budak itu kena gigit anjing’

13 Oct 2026 • 12:20 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: ‘Kalau saya lambat mati budak itu kena gigit anjing’

JOHOR BAHRU – “Kalau saya lambat sikit, mungkin mati budak tu.”

Demikian kata saksi, Abdullah Md Nor, 71, yang bertindak pantas menghalau sekumpulan anjing liar bagi menyelamatkan seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang diserang haiwan berkenaan di Lima Kedai, di sini, petang semalam.

Abdullah berkata, ketika kejadian, dia kebetulan membawa cucunya membeli jajan di sebuah kedai berhampiran sebelum terdengar jeritan orang ramai yang menyaksikan serangan itu.

Menurutnya, sebaik melihat mangsa dikerumuni anjing liar, dia segera bertindak menghalau haiwan berkenaan menggunakan batu kerana bimbang nyawa kanak-kanak itu tidak sempat diselamatkan.

“Saya nampak budak itu sudah dikerumuni anjing. Saya cakap, kalau dibiarkan, matilah budak ini.

“Saya ambil batu dan baling ke arah anjing itu sehingga ia lari. Saya rasa kalau lambat menyelamatkannya kira-kira 10 minit, mungkin budak itu sudah meninggal dunia,” katanya ketika ditemui di sini.

Menurut Abdullah, selepas anjing berkenaan beredar, datuk mangsa membawa kanak-kanak itu menaiki motosikal untuk mendapatkan rawatan.

Bagaimanapun, keadaan masih mencemaskan apabila anjing liar itu tidak beredar jauh, malah kembali menghampiri mangsa sehingga penduduk terpaksa membaling batu sekali lagi untuk menghalaunya.

“Anjing itu tidak terus lari jauh, sebaliknya masih berada di seberang dan datang semula. Kami terpaksa membaling batu lagi untuk menghalaunya,” katanya.

Lebih membimbangkan, Abdullah berkata, kejadian serangan anjing liar di kawasan perumahan itu bukan kali pertama berlaku apabila seorang lagi kanak-kanak lelaki turut diserang pada pagi hari sama.

Katanya, mangsa pertama dipercayai diserang ketika berjalan menuju ke rumah rakannya di kawasan berkenaan kira-kira pukul 9 pagi.

Kanak-kanak itu mengalami kecederaan akibat gigitan pada bahagian tangan dan kaki, namun sempat melarikan diri.

Abdullah berkata, penduduk sudah lama berdepan masalah anjing liar yang berkeliaran di sekitar kawasan perumahan, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan penduduk, khususnya kanak-kanak yang sering bermain di taman permainan berhampiran.

Sehubungan itu, dia berharap pihak berkuasa mengambil tindakan segera bagi menangani masalah berkenaan sebelum kejadian lebih buruk berlaku.

“Memang kami penduduk di sini berasa risau, lebih-lebih lagi ramai kanak-kanak kecil bermain di taman ini.

“Saya minta pihak berkenaan mengambil tindakan terhadap anjing liar ini supaya kejadian sama tidak berulang,” katanya.-KOSMO! ONLINE

The post ‘Kalau saya lambat mati budak itu kena gigit anjing’ appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved