
JAKARTA: Indonesia menggesa Kalimantan Selatan menggerakkan lebih banyak sumber bagi menangani kebakaran hutan dan tanah susulan cuaca ekstrem serta kemarau yang semakin buruk meningkatkan risiko kebakaran.
Timbalan Menteri Hal Ehwal Makanan Indonesia, Hanif Faisol Nurofiq, berkata demikian di Banjarbaru pada Rabu selepas mempengerusikan mesyuarat penyelarasan strategik mengenai kebakaran di Pengayuan semalam.
Beliau berkata, mesyuarat itu menilai unjuran lokasi panas serta keperluan menggerakkan sumber secara lebih meluas bagi menghadapi keadaan kemarau yang dijangka berterusan.
“Kebakaran hutan dan tanah tidak boleh ditangani secara berasingan. Ia memerlukan usaha bersepadu membabitkan kerajaan pusat dan tempatan, pasukan keselamatan, masyarakat serta sektor perniagaan,” katanya.
Selepas mesyuarat itu, Hanif bersama pasukan gabungan menuju ke lokasi titik panas yang dikesan di kawasan Pengayuan, Banjarbaru, bagi membantu memadam kebakaran secara langsung sebagai sebahagian daripada tindakan kecemasan.
Pasukan gabungan berusaha mengawal kebakaran daripada merebak, dengan memberi keutamaan kepada kawasan berhampiran penempatan penduduk, persekitaran serta infrastruktur.
Ketua Agensi Perhutanan Kalimantan Selatan, Fathimatuzzahra, berkata pihaknya bersedia memperkukuh kerjasama dan meningkatkan usaha menangani kebakaran bersama semua pihak berkepentingan.
“Keberkesanan pengawalan kebakaran bergantung kepada kerjasama rapat antara kerajaan, pasukan keselamatan, sektor perniagaan dan masyarakat. Koordinasi dengan kerajaan pusat akan terus diperkukuh,” katanya.- ANTARA
The post Kalimantan Selatan digesa kerah lebih banyak sumber tangani kebakaran hutan appeared first on Utusan Malaysia.

