
JAKARTA – Aksi seorang remaja lelaki berusia 17 tahun dari Kota Palangka Raya, Kalimantan Tengah, yang turun padang memadamkan kebakaran hutan dan lahan berpakaian kostum adiwira, Superman, menjadi tular di media sosial lapor saluran berita Kompas.com
Remaja berkenaan, Rudiansyah, yang merupakan pelajar di SMA Negeri 10 Palangka Raya, bertindak menyertai operasi memadamkan api sejurus pulang dari sekolah selepas kebakaran dikesan semakin meluas berhampiran kediamannya di Jalan Petuk Katimpun, Jekan Raya.
“Saya bimbang melihat kebakaran tanah yang semakin menghampiri rumah.
“Oleh itu, sekembalinya dari sekolah, saya terus meluangkan masa untuk membantu memadamkan api,” katanya.
Anak ketiga daripada empat beradik ini menjelaskan, penggunaan kostum Superman dalam aksi pemadaman itu sekadar suka-suka.
Dia memakai kostum berkenaan kerana sudah lama tidak digunakan, yang pada asalnya dibeli untuk menyertai acara larian.
“Memakai kostum ini sekadar suka-suka, dibeli sejak Februari 2026 untuk menyertai kejohanan larian maraton, tetapi tidak digunakan,” jelasnya.
Rudiansyah menegaskan, tindakan yang dilakukannya itu merupakan aksi spontan untuk melindungi rumahnya yang terletak sangat dekat dengan lokasi kebakaran hutan dan tanah tersebut. – AGENSI
The post ‘Superman’ Indonesia bantu padam kebakaran hutan appeared first on Kosmo Digital.




