Pada bulan Januari 2025, Jabra, syarikat teknologi produktiviti pejabat telah menemu-bual 900 pekerja di pasaran Amerika Utara, EMEA (Eropah, Timur Tengah dan Afrika) dan Asia Pasifik dan menemui bahawa 94 peratus daripada mereka rasakan kolaborasi diantara rakan sekerja adalah lokasi yang terbaik untuk membincangkan idea-idea baru.

Dengan syarikat-syarikat kini membenarkan gabungan kerja dari rumah dan kerja di pejabat untuk digabungkan menjadi budaya bekerja baru, Jabra baru-baru ini telah memperkenalkan kamera telesidang baru, iaitu Jabra PanaCast 40 VBS yang memudahkan perbincangan diantara pekerja-pekerja di pejabat dan juga mereka yang bekerja di luar pejabat.
VBS ataupun Video Bar System ialah sebuah sistem kamera web dengan pembesar suara terbina yang dikuasakan sistem operasi Android, dan juga merupakan sebuah produk rasmi Microsoft Device Ecosystem Platform yang membolehkannya mudah digunakan dengan pelbagai jenis perkhidmatan telesidang seperti Microsoft Teams dan Zoom. Sokongan untuk Google Meet dikatakan akan diperkenalkan di masa akan datang.

Bar video ini terdiri daripada dua buah kamera panoramik yang boleh merakam video pada resolusi 4K, sebuah pembesar suara terbina, palam HDMI untuk disambungkan kepada paparan skrin, dan bergantung kepada model yang anda pilih, ia juga hadir dengan sebuah panel paparan yang membolehkan pengguna untuk mengawal tetapan kamera ini dengan lebih mudah.
Jabra PanaCast 40 VBS juga hadir dengan panel skrin terbina untuk kawalan-kawalan asas, tetapi Jabra juga memperkenalkan skrin kawalan Jabra Control IP yang membolehkan pengguna untuk mengawal tetapan ini dengan lebih cepat dan lancar.

Diantara kelebihan yang dapat diperlihatkan pada PanaCast 40 VBS ini termasuklah sudut rakaman 180 darjah di hadapan kamera secara jarak dekat. Ia juga cukup pintar untuk mengimbas wajah mereka yang berada didalam bilik mesyuarat dan memisahkan wajah-wajah mereka didalam tetingkap telesidang.
Bukan itu sahaja, sistem kamera terbina ini juga cukup pintar untuk menetapkan kawasan rakaman yang mahu diperlihatkan dalam sesi telesidang. Ciri ini berguna untuk mereka yang mahu memastikan bahawa kawasan pejabat ataupun latar belakang mesyuarat tidak diperlihatkan sewaktu sesi telesidang.

Dengan enam buah mikrofon terbina didalam PanaCast 40 VBS ini, Jabra mengatakan bahawa sistem kamera telesidang ini boleh menangkap suara setiap individu dengan baik, dan ini memudahkan proses seperti mengambil nota automatik yang ditawarkan pada perkhidmatan telesidang seperti Microsoft Teams.
Jabra mengatakan bahawa Jabra PanaCast 40 VBS ini akan ditawarkan di pasaran Malaysia sekitar bulan Ogos ini pada tanda harga berikut:
- Jabra PanaCast 40 VBS (kamera sahaja) – RM8800
- Jabra Control IP – RM4080
- Jabra PanaCast 40 VBS + Jabra Control IP – RM12800
