“Kami berani bersumpah” – Staf Restoran GISBH Nafi Letak Air Rendaman Kaki & Janggut Dalam Makanan

Entertainment
18 Sep 2024 • 12:53 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Ketika ini, pasukan polis masih lagi melakukan siasatan terperinci terhadap syarikat Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH) yang didakwa terlibat dalam kegiatan eksploitasi kanak-kanak.

Selain siasatan polis, satu demi satu dakwaan mengenai syarikat berkaitan agama itu didedahkan sehingga menjadi perbincangan hangat netizen di media sosial.

Antara dakwaan yang berlegar adalah mengenai isu ‘air berkat’ daripada pemimpin-pemimpin pertubuhan ini yang diletakkan dalam makanan.

Pekerja restoran GISBH nafi letak air rendaman dalam makanan

Melihat isu itu, pekerja restoran daripada salah satu cawangan di bawah GISBH bersumpah menafikan restoran itu meletakkan air rendaman kaki, janggut, bulu dan sebagainya dalam makanan kepada pelanggan.

Menerusi rakaman video berdurasi 53 saat itu, empat pekerja terbabit menjelaskan perkara itu tidak benar seperti yang tular di seluruh negara.

Menurut mereka, Restoran Ikhwan Delights Sungai Penchala berdaftar di Kuala Lumpur bawah bimbingan GISB Holdings Sdn Bhd.

“Kami menafikan tuduhan yang dibuat dan dilemparkan berkaitan beberapa isu yang diperkatakan di Malaysia.

“Kami berani bersumpah atas nama ALLAH dan rasul, ‘Wallahi Wabillahi Watallahi’,” kata mereka di Facebook.

Menerusi video itu juga, mereka menjelaskan segala keterangan bersumpah itu benar dan sedia menerima hukuman daripada ALLAH.

“Jika kami berbohong ALLAH akan melaknat kami walaupun dengan isu ini kami akan terjejas dan terkesan.

“Kami berharap masyarakat di luar sana boleh menilai sendiri apa yang sedang berlaku,” katanya.

Terdahulu, Restoran Nur Malaysia Makkah milik syarikat GISBH yang beroperasi di Arab Saudi turut menafikan dakwaan yang ditularkan itu. Pada masa yang sama, pihaknya mengakui perniagaan restoran agak terkesan dengan kejadian yang berlaku di Malaysia ketika ini.

Sumber: Facebook

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.