Kami Bersedia Penuhi Permintaan Zii Jia Untuk Sukan Komanwel - Shapawi

25 Jun 2022 • 8:19 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Datuk Ahmad Shapawi - Gambar fail Bernama

KUALA LUMPUR - Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi menafikan dakwaan pihaknya hanya membenarkan pemain badminton negara, Lee Zii Jia membawa jurulatihnya, dan bukan keseluruhan pasukan ke Sukan Komanwel di Birmingham.

Ketika dihubungi The Vibes, Shapawi berkata, MSN bersedia untuk memenuhi permintaan Zii Jia sebelum beliau memutuskan untuk menarik diri dari temasya tersebut.

“Tidak benar apabila dikatakan NSC hanya membenarkan jurulatih mengikutnya ke Birmingham. Kami bersedia untuk membenarkan beliau membawa rombongannya, tetapi disebabkan had kad akreditasi oleh Majlis Olimpik Malaysia, hanya jurulatih dan ahli fisioterapinya yang diberikan kad tersebut.

“Bagaimanapun, kami memberitahunya bahawa Zii Jia boleh membawa pasangan ‘sparring’, pengurus dan ‘strength conditioner’ tetapi mereka tidak akan mempunyai akses ke Perkampungan Sukan, dan perlu membeli tiket seperti penonton biasa untuk menonton perlawanan.

“Mereka yang mempunyai pas akreditasi akan tinggal di Perkampungan Sukan dan mereka yang tidak memerlukannya perlu mencari penginapan di tempat lain. MSN telah bersedia untuk mendapatkan mereka penginapan.

“Kami faham mengapa dia mahu membawa pasukannya dan kami melakukan yang terbaik untuk memenuhi (semua) permintaan  itu. Zii Jia menyedarinya tetapi memaklumkan kami bahawa dia perlu berbincang terlebih dahulu dengan pasukannya sebelum membuat keputusan.

“Jadi, ini adalah keputusannya, jadi terpulang kepada Zii Jia. Tetapi dari sudut MSN, kami bersedia untuk memenuhi permintaannya,” kata Shapawi.

Sementara itu, bekas pemain perseorangan negara, Ong Ewe Hock berkata, adalah satu kerugian buat Zii Jia untuk tidak bertanding di Sukan Komanwel kerana ia diadakan setiap empat tahun, sedangkan Kejohanan Dunia merupakan kejohanan tahunan.

“Zii Jia mempunyai peluang terbaik pada Sukan Komanwel ini untuk memenangi pingat emas kerana dia berada dalam prestasi terbaik dan satu-satunya cabaran serius akan datang daripada Lakshya Sen dari India, yang telah ditewaskannya sebelum ini.

“Kita tidak tahu sama ada dia akan dapat beraksi di Sukan Komanwel akan datang, dengan mengambil kira soal kecederaan dan prestasinya. Bagaimanapun, itu adalah keputusannya pada penghujung hari.

“Saya harap dia sedar bahawa setiap pertandingan adalah penting, terutamanya tiga temasya teratas,” kata Ewe Hock, yang memenangi pingat emas Sukan Komanwel pada 1998 ketika Malaysia menjadi tuan rumah temasya itu.

Pada masa sama, Datuk James Selvaraj meluahkan rasa kecewa dengan keputusan Zii Jia untuk tidak beraksi di Birmingham.

Katanya, apabila Persatuan Badminton Malaysia (BAM) membatalkan larangan selama dua tahun, Zii Jia memberi jaminan akan mengutamakan negara dan bersaing dalam acara besar.

“Bukankah Sukan Komanwel satu acara besar? Kejohanan Dunia adalah penting, tetapi ia diadakan setiap tahun, jadi saya harap dia boleh mempertimbangkan semula keputusannya jika masih belum terlambat.

“Zii Jia akan terlepas dua pingat emas - acara perseorangan dan berpasukan campuran. Tidak salah untuk negara bergantung kepada beliau untuk membantu Malaysia memenangi beberapa pingat emas,” katanya.

Bagaimanapun, pengguna media sosial dilihat menyokong keputusan Zii Jia tersebut dan ramai warganet merasakan bahawa ia adalah langkah yang betul untuk dilakukan kerana Kejohanan Dunia lebih besar daripada Sukan Komanwel dan Malaysia masih belum mempunyai juara dunia.

Emas di Sukan Komanwel pula sudah banyak kali dimenangi.

Pastinya amat menggembirakan untuk melihat Zii Jia memenangi Kejohanan Dunia pada Ogos depan kerana pemain seperti Viktor Axelsen dari Denmark, Anthony Sinisuka Ginting dari Indonesia, Kento Mamota dari Jepun dan Chou Tien-chen dari China Taipei juga akan beraksi bagi merebut gelaran juara. - The Vibes, 25 Jun 2022