SHAH ALAM - Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, menegaskan pihaknya tidak akan berdiam diri sekiranya terdapat sebarang kesalahan, termasuk yang melibatkan rakan politik.
Menurutnya, UMNO terbuka untuk berkawan dengan sesiapa sahaja, namun tidak akan hanya mengikut arahan tanpa menegur perkara yang tidak betul.
"Bro Kamil Munim, kami boleh berkawan dengan sesiapa sahaja, tapi jika ada kawan yang buat salah, kami tidak akan berdiam.
"Kami bukan lembu yang nak diarah untuk berdiam diri jika ada perkara yang perlu diperbetulkan," katanya menerusi hantaran balas susulan kenyataan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim, berhubung krisis di Negeri Sembilan pada Selasa.
Dalam pada itu, beliau berpandangan bahawa amaran yang dikeluarkan Muhammad Kamil itu sepatutnya ditujukan kepada ahli parti sendiri, khususnya yang dilihat terbuka mengkritik kepimpinan tertinggi.
"Sepatutnya amaran kamu ini kena bagi pada ahli PKR sendiri yang hari ini menghentam presiden parti kamu. Itu sebenarnya 'tebuk kapal' atau kamu takut bila ada Perikatan Nasional (PN) boleh sokong Barisan Nasional (BN)?
"Tapi kalau kamu nak lawan, then bring it on bro! Sedikit pun kami tidak gentar," katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai perkembangan politik di Negeri Sembilan, beliau berkata, sekiranya kedudukan kerajaan negeri tidak lagi kukuh, pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) wajar dipertimbangkan.
"Teruskanlah Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias sudah mengumumkan menarik sokongan dan boleh jadi pembangkang. Bukan soal nak jadi Menteri Besar.
"Kalau tidak boleh nak jadi kerajaan maka bubarlah, kita bagi rakyat buat pilihan," katanya.
Sebelum ini, Muhammad Kamil memberi amaran keras kepada Dr Muhamad Akmal supaya menghentikan tindakan yang boleh menggugat kestabilan Kerajaan Perpaduan.
Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan itu juga menyifatkan tindakan beliau yang kerap mencetuskan polemik dengan rakan sekutu sebagai usaha 'menebuk kapal' sendiri.






