
BEIJING – Seorang pengantin lelaki di China yang hampir tidak mempunyai ahli keluarga untuk dijemput, meminta bantuan orang asing untuk memenuhkan dewan pada hari perkahwinannya, manakala tindak balas netizen menyentuh hati ribuan pembaca, lapor Asianet News.
Menerusi satu rakaman video yang dimuat naik, lelaki itu berkata, bapanya meninggal dunia semasa dia masih di sekolah rendah, manakala ibunya meninggalkan dia selepas berkahwin lain.
Pemuda dikenali sebagai Xiao Xiao Xu itu tetap berusaha bekerja dan mengumpul wang yang cukup untuk berkahwin dengan wanita pilihannya.
Apa yang membimbangkannya ialah senarai tetamu yang kosong. Dengan hanya sedikit saudara-mara dapat hadir, dia bimbang majlis tersebut akan menjadi sepi dan sunyi.
Disebabkan itu, dia membuat jemputan terbuka secara dalam talian, demikian menurut video berkenaan, memohon netizen hadir supaya perkahwinan itu tidak terasa hambar.
Maklum balas diterima hampir serta-merta, dengan pengguna menulis mesej seperti:”Bro, kami dalam perjalanan!!”
Apa yang berlaku selepas itu bukanlah sekadar kunjungan orang ramai yang mahukan makanan percuma. Para tetamu membawa bahan-bahan masakan dan hadiah khas untuk majlis perkahwinan tersebut. Tukang masak pula menawarkan khidmat mereka secara percuma.
Ada juga yang menguruskan konvoi kenderaan berhias, manakala seorang individu menyediakan kereta Maybach untuk pengantin lelaki dan perempuan. Lilin-lilin dihantar, rumah dihias dan orang asing yang tidak mengenali antara satu sama lain berganding bahu menjayakan majlis perkahwinan tersebut. – AGENSI
The post Kami dalam perjalanan, ribuan rai perkahwinan anak yatim appeared first on Kosmo Online.
