‘Kami lega pesawat selamat mendarat di Jeddah’

11 Oct 2026 • 3:32 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: ‘Kami lega pesawat selamat mendarat di Jeddah’

PETALING JAYA – “Pesawat ini sedang mengisi bahan api…sila buka tali pinggang anda.”

Demikian antara pengumuman yang dikatakan diterima penumpang sebuah penerbangan yang dilencongkan ke Madinah sebelum dilaporkan selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz, Jeddah, Arab Saudi pagi tadi (waktu Malaysia)

Perkembangan itu dikongsikan pengguna Threads, Bob Sazali menerusi hantaran mengenai situasi yang dimaklumkan oleh abang iparnya ketika perjalanan berkenaan.

Menurut perkongsian itu, penumpang turut diminta mengosongkan laluan berhampiran pintu kecemasan, sekali gus menimbulkan tanda tanya mengenai situasi yang sedang berlaku ketika itu.

“Dapat WhatsApp dari abang ipar, pengumuman terbaharu agak pelik…pesawat ini sedang mengisi bahan api, sila buka tali pinggang anda, sila kosongkan laluan yang berhampiran pintu kecemasan. Harap Maklum,” kongsinya.

Bagaimanapun, keluarga berkenaan menarik nafas lega selepas menerima berita bahawa pesawat berkenaan selamat mendarat di Jeddah.

“Alhamdulillah…baru je mendarat di Airport King Abd Aziz (Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz) Jeddah,” kata abang iparnya menerusi hantaran mesej.

Bob Sazali turut memuat naik gambar ketibaan rombongan yang disertai abang iparnya bersama jemaah lain tiba di lapangan terbang berkenaan selepas penerbangan dilencongkan ke Madinah.

Sebelum ini, pengguna tersebut berkongsi penerbangan yang dinaiki sekumpulan jemaah umrah dari Malaysia terpaksa dilengcongkan ke Madinah.

“Mendapat perkhabaran dari abang ipar, penerbangan umrah mereka dilencong ke Madinah akibat isu keselamatan di Jeddah.

“Sebuah penerbangan membawa ahli keluarga kami dari KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur) untuk menunaikan umrah tidak dapat mendarat di Jeddah atas alasan keselamatan. Pesawat dilencongkan ke Madinah dan selamat mendarat,” katanya.

Dalam pada itu, pengguna berkenaan turut menitipkan doa agar urusan keluarganya dan semua jemaah dipermudahkan serta ibadah mereka diterima Allah SWT.

Perkongsian itu berlaku ketika Arab Saudi berdepan peningkatan ancaman keselamatan susulan serangan yang dikaitkan dengan kumpulan Houthi dari Yaman.

Terdahulu, agensi berita antarabangsa melaporkan, semalam terdapat serangan terhadap Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Khalid di Riyadh mengorbankan sekurang-kurangnya 12 orang dan mencederakan lebih 300 yang lain, menurut pihak berkuasa Arab Saudi.

Insiden berkenaan turut mencetuskan gangguan operasi penerbangan apabila perkhidmatan di lapangan terbang itu digantung sementara dan penerbangan dilencongkan.

Laporan itu mendedahkan, beberapa syarikat penerbangan antarabangsa juga menggantung atau membatalkan perkhidmatan tertentu ke Riyadh susulan peningkatan risiko keselamatan di rantau berkenaan.

Terbaharu, Wisma Putra dalam kenyataan mengesahkan tiada rakyat Malaysia terkorban dalam insiden serangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Khalid di Riyadh, Arab Saudi, semalam.

Wisma Putra memaklumkan, pihaknya bersama Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh bagaimanapun sedang berhubung dengan beberapa rakyat Malaysia yang dalam perjalanan dan terkandas untuk memberi bantuan konsular. – KOSMO! ONLINE

The post ‘Kami lega pesawat selamat mendarat di Jeddah’ appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved