
PETALING JAYA – Penerbangan membawa jemaah umrah yang sepatutnya mendarat di Jeddah dilencongkan ke Madinah susulan situasi keselamatan di rantau Asia Barat yang semakin tegang.
Perkara itu dikongsikan seorang pengguna Threads, @f.azzahra88, yang memaklumkan pesawat dinaiki mereka akhirnya mendarat di Madinah selepas berlegar-legar di ruang udara Jeddah.
Bagaimanapun, jemaah berkenaan tidak dibenarkan turun di terminal dan terpaksa menunggu di dalam pesawat.
“Selamat mendarat di Madinah tetapi mendarat di kawasan terbuka. Hanya boleh menunggu dalam pesawat sahaja. Tetapi kami baik-baik saja,” katanya menerusi hantaran yang tular di Threads.
Menjawab pertanyaan pengguna lain, wanita itu menjelaskan bahawa pesawat berkenaan tidak mendarat berhampiran terminal, menyebabkan penumpang perlu kekal berada di dalam pesawat sementara menunggu perkembangan selanjutnya.
Hantaran tersebut mengundang pelbagai reaksi orang ramai yang mendoakan agar urusan jemaah dipermudahkan dan mereka dapat meneruskan perjalanan untuk menunaikan ibadah umrah dengan selamat.
Situasi itu berlaku ketika rantau Asia Barat berdepan ketegangan keselamatan susulan serangan yang dikaitkan dengan kumpulan Houthi di Riyadh, Arab Saudi, yang dilaporkan mengorbankan beberapa nyawa serta mencederakan ramai mangsa.
Serangan terhadap infrastruktur awam itu turut menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan penduduk dan perjalanan udara di rantau berkenaan.
Bagaimanapun, setakat hantaran tersebut dikongsikan, tiada pengesahan bahawa pengalihan penerbangan jemaah berkenaan berpunca secara langsung daripada serangan di Riyadh itu.- KOSMO! ONLINE
The post Jemaah umrah di lencong ke Madinah, Asia Barat tegang appeared first on Kosmo Online.






