​'Kami nekad pecah pintu rumah' - Saksi cerita detik cemas kebakaran ragut dua nyawa

26 Aug 2026 • 1:00 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: ​'Kami nekad pecah pintu rumah' - Saksi cerita detik cemas kebakaran ragut dua nyawa
Anggota bomba mengeluarkan mayat mangsa yang terkorban dalam kebakaran melibatkan sebuah rumah di Kampung Tok Jembal, Kuala Nerus awal pagi Rabu.
Image from: ​'Kami nekad pecah pintu rumah' - Saksi cerita detik cemas kebakaran ragut dua nyawa
Bomba masih menyiasat punca kebakaran rumah berkenaan.
Image from: ​'Kami nekad pecah pintu rumah' - Saksi cerita detik cemas kebakaran ragut dua nyawa
​Wan Azrin

​KUALA NERUS - Seorang saksi menceritakan detik cemas apabila penduduk kampung nekad memecahkan pintu sebuah rumah yang terbakar bagi menyelamatkan penghuninya dalam kejadian kebakaran di Kampung Tok Jembal, di sini pada Rabu.

​Wan Azrin Wan Awang, 46, berkata, dia bersama beberapa penduduk bergegas ke lokasi kejadian sebaik menyedari kebakaran itu dan cuba memanggil penghuni yang berada di dalam rumah.

​Menurutnya, selepas pintu rumah diketuk berulang kali tanpa sebarang sahutan, mereka mengambil keputusan untuk merempuh dan memecahkan pintu berkenaan.

​"Bila sampai, dah ada dua orang kampung kat situ. Kami panggil penghuni tapi tak ada yang menyahut.

​"Kemudian kami pecahan pintu dan seorang lelaki masuk sebelum berjaya membawa keluar ibu mangsa, Maimunah Muda," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian pada Rabu.

**media[3626553]**

​Wan Azrin berkata, selepas wanita berusia 67 tahun itu diselamatkan, wanita berkenaan memaklumkan masih terdapat dua lagi penghuni iaitu anak dan cucunya yang berada di tingkat atas rumah.

​Katanya, penduduk cuba memanggil kedua-dua mangsa berulang kali tetapi tiada jawapan sebelum api dilihat mula merebak dari bahagian atas.

​"Masa itu api belum terlalu besar, tapi cepat merebak dan makin marak. Kami tidak dapat masuk semula sebab keadaan makin bahaya," katanya.

​Dalam kejadian itu, dua mangsa yang maut akibat terperangkap di tingkat atas dikenal pasti sebagai Amirul Fahmi Wan Jusoh, 40, dan anaknya, Rehan Yusof Amirul Fahmi, 9.

**media[3626550]**

​Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Mohd Shahrin Yusmar Mat Yusof berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 2.49 pagi.

​Menurut beliau, jentera dari balai berdekatan yang terletak kira-kira sembilan kilometer tiba di tempat kejadian pada jam 2.58 pagi.

​"Ketika awal kejadian, kita dimaklumkan terdapat tiga mangsa berada di dalam rumah. Seorang berjaya keluar, manakala dua lagi dipercayai terperangkap.

​"Kerja-kerja pemadaman dan pencarian dilakukan selama tiga jam sebelum kedua-dua mangsa ditemukan rentung di tingkat atas dalam keadaan berpelukan," katanya.

​Mohd Shahrin berkata, Maimunah yang berjaya menyelamatkan diri tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala punca serta tempat bermulanya kebakaran masih dalam siasatan pihak bomba.

​Katanya, operasi pemadaman dan pencarian selesai sepenuhnya pada jam 8.40 pagi sebelum lokasi kejadian diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved