
ARAU – Selepas puluhan tahun mempertaruhkan nyawa menentang pengganas komunis dan menyertai misi di Somalia, seorang veteran tentera terkilan apabila masih ada pihak yang sanggup memperlekehkan erti kemerdekaan serta simbol negara.
Syukri Abdullah, 71, berkata, keamanan yang dikecapi rakyat Malaysia hari ini bukan datang dengan mudah, sebaliknya dibayar dengan darah, air mata dan nyawa anggota keselamatan yang berjuang mempertahankan tanah air.
“Golongan muda perlu faham, keamanan hari ini datang daripada penderitaan kami yang mempertaruhkan nyawa masuk ke hutan melawan musuh negara dan meninggalkan keluarga berbulan-bulan demi negara. Jangan persiakan kemerdekaan ini, saya galakkan anak-anak muda supaya bangkit dan pertahankan kemerdekaan yang ada,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Jelempok di sini.
Menurut pesara Tentera Darat berpangkat Pegawai Waran 1 (B) itu, antara pengalaman yang tidak dapat dilupakannya ialah ketika seorang anggota di bawahnya terpijak jerangkap samar semasa operasi di kawasan Gubir dan Ulu Legong berhampiran sempadan negara.
“Masa itu kami sedang meronda di tepi sungai berhampiran kem sebelum tiba-tiba terdengar letupan kuat dan rupa-rupanya anggota yang berjalan di hadapan saya terpijak jerangkap samar. Saya berlari mendapatkannya dan ketika cuba mengangkat. Semasa mendapatkan bantuan helikopter untuk membawanya keluar dari hutan, darah dari kaki yang hancur terpercik masuk ke dalam mulut saya,” ujarnya.
Syukri yang berasal dari Tunjang, Kedah berkhidmat selama 22 tahun bermula 1973 hingga bersara di Batalion Ke-19 Rejimen Askar Melayu Diraja (19 RAMD) Mekanis pada tahun 1995 terlibat memburu pengganas komunis secara aktif pada 1970-an dan 1980-an.
Khidmatnya kemudian membawa beliau ke Somalia selama enam bulan pada 1993 menerusi misi Restore Hope termasuk menyertai operasi menyelamat tentera Amerika Syarikat di Pasar Bakara, Mogadishu ketika negara itu bergolak akibat perang saudara.
“Kalau kita sendiri gagal menjaga kemerdekaan yang diwariskan kepada kita, suatu hari nanti barulah kita tahu betapa besarnya nilai sebuah negara yang merdeka,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Kami pertaruh nyawa, jangan persia kemerdekaan – Veteran tentera appeared first on Kosmo Digital.


