'Kami sangat rindukan dia…' – Ibu bapa luah hasrat bertemu penerima kornea arwah anak

LocalFamily & Parenting
29 Jun 2026 • 2:20 PM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

Image from: 'Kami sangat rindukan dia…' – Ibu bapa luah hasrat bertemu penerima kornea arwah anak

KERINDUAN yang mendalam terhadap anak sulung yang telah pergi buat selama-lamanya mendorong sepasang suami isteri meluahkan harapan agar dapat dipertemukan dengan individu yang kini meminjam 'sinar' mata permata hati mereka.

Meskipun reda dengan ketentuan Ilahi, perasaan hiba pemergian Allahyarham Muhammad Jaris Amirul Sharulanuar, 29, tetap bersisa, membuatkan ibu bapanya mengimpikan peluang menatap mata penerima kornea tersebut walau hanya untuk seketika.

"Kami hendak sangat jumpa penerima kornea mata anak untuk mengubat kerinduan kepada arwah, ungkap Sharulanuar Baharom.

Untuk rekod, Allahyarham meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya semasa pulang dari bekerja di Lebuh raya Link Kedua arah Selatan, Johor pada 23 Mei lalu.

Dalam kejadian terbabit, anak sulung daripada enam beradik itu yang bekerja sebagai penyelia keselamatan tapak dipercayai terbabas ketika menunggang motosikal berhampiran susur masuk ke Iskandar Puteri.

Image from: 'Kami sangat rindukan dia…' – Ibu bapa luah hasrat bertemu penerima kornea arwah anak

Menurut Sharulanuar, dia serta isteri, Nor Afini Din, 42, telah dimaklumkan bahawa minggu lepas kornea kedua-dua belah mata milik anak mereka itu telah didermakan kepada dua penerima iaitu seorang wanita berusia 21 tahun di Johor dan lelaki dari Sungai Buloh, Selangor berumur 56 tahun.

"Kami berharap sangat untuk berjumpa dengan kedua-dua penerima ini. Kami hendak tengok sinar pada mata milik arwah.

"Kami sangat rindukan dia walaupun reda tetapi kesedihan kehilangannya sangat dirasai," katanya memetik Sinar Harian.

Sharulanuar berkata demikian ketika ditemui di rumahnya di Lorong Kubur, Taman Mekasar, Pasir Mas pada Isnin.

Sebelum itu, pasangan tersebut menerima kunjungan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang diwakili oleh Timbalan Pengarah negeri, Nor Aziemah Ismail. Dalam kunjungan tersebut, Nor Aziemah telah menyampaikan sumbangan Faedah Pengurusan Mayat berjumlah RM3,000 dan Faedah Orang Tanggungan sebanyak RM1,952 sebulan seumur hidup.

Dia juga berharap penerima tersebut sudi berjumpa mereka walaupun sekejap untuk melepaskan kerinduan kepada arwah.

"Jika mereka (penerima) tidak sudi berjumpa kami, tidak mengapa. Tiada paksaan. Lagipun bukan kami sahaja tidak tahu siapa yang menerima sumbangan kornea mata ini, tetapi penerima pun tidak tahu siapa penderma," katanya.

Image from: 'Kami sangat rindukan dia…' – Ibu bapa luah hasrat bertemu penerima kornea arwah anak

Sharulanuar serta isteri sebenarnya telah menjadi pengikrar penderma organ bersama sejak tahun 2008 lagi.

Ujarnya lagi, perkara tersebut telah dimaklumkan kepada anak-anak termasuk arwah dan mereka semua menyambut baik hasrat itu.

"Kata mereka dengan cara tersebut, walaupun sudah meninggal dunia, namun masih boleh membantu orang yang memerlukan sepanjang hayat.

"Disebabkan itu apabila kemalangan ini menimpa arwah, kami berdua bersetuju mendermakan kornea matanya.

"Ini kerana jika melibatkan kematian mengejut, hanya organ tertentu seperti mata dan tisu kulit sahaja dapat didermakan," katanya lagi.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved