'Kami rindu…' - Ibu bapa Muhammad Jaris mahu temui penerima kornea

29 Jun 2026 • 1:18 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'Kami rindu…' - Ibu bapa Muhammad Jaris mahu temui penerima kornea
Sharulanuar dan isteri berharap impian mereka untuk berjumpa dengan penerima kornea mata Allahyarham Muhammad Jaris yang maut akibat kemalangan jalan raya semasa pulang dari bekerja di Lebuh raya Link Kedua arah Selatan, Johor pada 23 Mei lalu tercapai.
Image from: 'Kami rindu…' - Ibu bapa Muhammad Jaris mahu temui penerima kornea
Muhammad Jaris maut dalam kemalangan jalan raya semasa pulang dari bekerja di Lebuh raya Link Kedua arah Selatan, Johor pada 23 Mei lalu.
Image from: 'Kami rindu…' - Ibu bapa Muhammad Jaris mahu temui penerima kornea
Sharulanuar dan isteri menerima sumbangan Faedah Pengurusan Mayat dan Faedah Orang Tanggungan yang disampaikan oleh Nor Aziemah (tiga dari kanan) di rumah mereka di lorong kubur Taman Mekasar, Kasar, Pasir Mas pada Isnin.

PASIR MAS - "Kami hendak sangat jumpa penerima kornea mata anak untuk mengubat kerinduan kepada arwah."

Demikian kata Sharulanuar Baharom, 56, bapa kepada Allahyarham Muhammad Jaris Amirul Sharulanuar, 29, yang maut akibat kemalangan jalan raya semasa pulang dari bekerja di Lebuh raya Link Kedua arah Selatan, Johor pada 23 Mei lalu.

Dalam kejadian terbabit anak sulung daripada enam beradik itu yang bekerja sebagai penyelia keselamatan tapak dipercayai terbabas ketika menunggang motosikal berhampiran susur masuk ke Iskandar Puteri.

**media[3565850]**

Menurut Sharulanuar, dia serta isteri, Nor Afini Din, 42, telah dimaklumkan bahawa minggu lepas kornea kedua-dua belah mata milik anak mereka itu telah didermakan kepada dua penerima iaitu seorang wanita berusia 21 tahun di Johor dan lelaki dari Sungai Buluh, Selangor berumur 56 tahun.

"Kami berharap sangat untuk berjumpa dengan kedua-dua penerima ini. Kami hendak tengok sinar pada mata milik arwah. Kami sangat rindukan dia walaupun reda tetapi kesedihan kehilangannya sangat dirasai," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumah di lorong kubur Taman Mekasar, Kasar di sini pada Isnin.

Sebelum itu, pasangan tersebut menerima kunjungan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang diwakili oleh Timbalan Pengarah negeri, Nor Aziemah Ismail.

Dalam kunjungan tersebut Nor Aziemah telah menyampaikan sumbangan Faedah Pengurusan Mayat berjumlah RM3,000 dan Faedah Orang Tanggungan, RM1,952 sebulan seumur hidup.

**media[3565829]**

Sharulanuar berharap penerima tersebut sudi berjumpa mereka walaupun sekejap untuk melepaskan kerinduan kepada arwah.

"Jika mereka (penerima) tidak sudi berjumpa kami, tidak mengapa. Tiada paksaan.

"Lagipun bukan kami sahaja tidak tahu siapa yang menerima sumbangan kornea mata ini tetapi penerima pun tidak tahu siapa penderma," katanya.

Beliau serta isteri telah menjadi pengikrar penderma organ bersama yang dibuat pada tahun 2008.

Ujarnya, perkara tersebut telah dimaklumkan kepada anak-anak termasuk arwah dan mereka semua menyambut baik hasrat itu.

"Kata mereka dengan cara tersebut walaupun sudah meninggal dunia, namun masih boleh membantu orang yang memerlukan sepanjang hayat.

"Disebabkan itu apabila kemalangan ini menimpa arwah, kami berdua bersetuju mendermakan kornea matanya. Ini kerana jika melibatkan kematian mengejut hanya organ tertentu seperti mata dan tisu kulit sahaja dapat didermakan," katanya.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved