‘Kami sayang Cikgu Ishak’

22 Oct 2026 • 10:11 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: ‘Kami sayang Cikgu Ishak’

PETALING JAYA – Seorang murid Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Midah 2, Kuala Lumpur, meluahkan rasa sedih mengenangkan hari terakhir guru kesayangannya berkhidmat di sekolah itu hari ini.

Menerusi hantaran di Threads, murid dikenali sebagai Nayla Putri berkongsi kebaikan Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (PK HEM), Cikgu Ishak, yang disifatkan sebagai insan istimewa dalam kehidupan warga sekolah berkenaan.

Menurut Nayla, setiap pagi, Cikgu Ishak akan berada di hadapan sekolah untuk menyambut ketibaan murid-murid dengan senyuman dan lambaian mesra.

“Kami sayang Cikgu Ishak. Pada setiap pagi, Cikgu Ishak akan menunggu di hadapan sekolah untuk menyambut kehadiran murid-murid semua. Jika hari hujan pun sudi payungkan kami.

“Kami sentiasa disambut dengan senyuman dan lambaian. Tapi, saya berasa sangat-sangat sedih sebab esok (hari ini) merupakan hari terakhir Cikgu Ishak berkhidmat di sekolah kami (pencen),” katanya dalam hantaran semalam.

Nayla turut meminta orang ramai berkongsi hantarannya itu agar ia dapat menjadi sebuah hadiah istimewa buat Cikgu Ishak.

“Sebagai tanda penghargaan, saya mohon sangat-sangat dekat abang, kakak, pak cik dan mak cik like (tekan tanda suka) dan repost (kongsikan) post (hantaran) saya ini agar viral sebagai hadiah saya buat Cikgu Ishak yang dikasihi. Terima Kasih,” katanya.

Hantaran berkenaan mengundang pelbagai reaksi pengguna Threads yang lain kerana tersentuh dengan keikhlasan murid tersebut menghargai jasa gurunya.

Turut mendapat perhatian, anak kepada Cikgu Ishak juga meninggalkan komen dengan mengucapkan terima kasih kepada semua yang menyayangi bapanya.

“Hi everyone! (Hai semua). This is my ayah (ini ayah saya), thank you (terima kasih) sebab sayang ayah saya as your (sebagai) cikgu, doakan ayah saya sentiasa sihat selalu tau,” tulisnya.

Seorang lagi pengguna Threads yang mempunyai anak bersekolah di situ turut berkongsi pengalaman apabila anaknya yang merupakan murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) disambut mesra oleh guru berkenaan setiap pagi.

“Cikgu Ishak tiap pagi dia akan welcome (sambut) murid macam bapa-bapa sangat. Rasa sedih pula nanti bila dia dah tak ada. Selamat bersara cikgu,” katanya.

Seorang pengguna lain pula mengakui turut mengalirkan air mata membaca perkongsian Nayla, meskipun bukan anak murid Cikgu Ishak.

“Entahlah Nayla. Itu cikgu awak. Yang nak bersara cikgu awak. Awak anak murid cikgu tu. Tapi kenapa aunty (mak cik) yang nangis?” tulisnya. – KOSMO! ONLINE

The post ‘Kami sayang Cikgu Ishak’ appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved