
SETIU – Perjalanan seorang murid tahun dua ke sekolah berakhir tragedi apabila kanak-kanak perempuan tersebut maut dalam kemalangan di Kilometer 50, Jalan Kuala Terengganu – Kota Bharu, berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Batu 29, di sini, hari ini.
Dalam kemalangan pada pukul 6.50 pagi itu mangsa, Putri Jannatul Arisha Abdullah, 8, meninggal dunia akibat kecederaan parah pada bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Setiu, Superintendan Zahril Asri Mohd. Zain berkata, sewaktu kejadian, mangsa sedang membonceng motosikal jenis Yamaha LC yang ditunggang neneknya.
“Mereka dalam perjalanan untuk menghantar mangsa (Putri Jannatul Arisha) ke SK Batu 29 dari Kampung Langkap, di sini.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal jenis Yamaha LC yang dinaiki mereka dikatakan rempuh sebuah kereta Proton Waja sebaik membelok untuk keluar simpang, ” katanya di sini hari ini.
Zahril Asri berkata, kereta Proton Waja yang dipandu seorang lelaki yang dalam perjalanan ke Kota Bharu, Kelantan itu dikatakan gagal mengelak motosikal dinaiki mangsa dan neneknya.
Beliau berkata, mayat Putri Jannatul Arisha telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Setiu, di sini, untuk tindakan lanjut.
“Nenek mangsa yang cedera parah pula dikejarkan ke unit kecemasan hospital sama untuk menerima rawatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Murid tahun dua dalam perjalanan ke sekolah maut kemalangan appeared first on Kosmo Online.






