
Penyanyi, Datuk Nora Ariffin meluahkan rasa syukur kerana urusan rujuk bersama suami, Dr. Rushdi Ramli sudah selesai di hadapan Hakim Mahkamah Rendah Syariah Daerah Hulu Langat, Selangor pada Isnin.
Menerusi perkongsian yang di aplikasi Instagram, Nora atau nama sebenarnya Wan Norafizag Ariffin, 52, memaklumkan mereka kini kembali bersama dan menyifatkan segala urusan yang berlaku itu adalah hikmah buat mereka berdua.
“Alhamdulillah, selesai kes rujuk depan hakim dan mahkamah. Kami suami isteri yang sah.
“Segala yang berlaku pasti ada hikmahnya dan apabila perkara buruk terjadi, kita dapat melihat warna sebenar seseorang,” katanya menerusi kapsyen di Instagram.
Pada masa yang sama, penyanyi yang terkenal dengan lagu Di Persimpangan Dilema itu turut berkongsi kata-kata tentang muhasabah diri.
“Kadang-kadang, kita perlu bermuhasabah diri melalui proses ini. Terima kasih, Ya Allah, atas segalanya. Baik atau buruk.
“Sesungguhnya, Allah Maha Mengetahui segalanya,” jelasnya.

