
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Semalam (8 September), negara dikejutkan dengan insiden sebuah helikopter terhempas di Long Lellang Short Take-Off and Landing Airport (STOLport), Ulu Baram, Sarawak.
Dalam nahas yang berlaku kira-kira jam 3.40 petang, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Miri merangkap Residen Miri, Galong Luang mendedahkan kesemua lima individu yang berada dalam helikopter berkenaan disahkan meninggal dunia.
Kejadian itu nyata mendapat perhatian apatah lagi pemergian kesemua mangsa dalam keadaan sedang bertugas dan berbakti kepada masyarakat.
Baca Artikel Berkaitan: Nahas Helikopter: Residen Miri Sahkan Juruterbang & 4 Petugas KKM Meninggal Dunia
Pemilik Kedai Runcit Dedah Helikopter Sempat Singgah Di Long Siut Untuk Isi Minyak
Helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) atau turut digelar Flying Doctor itu dilaporkan sempat singgah ke Long Siut untuk mengisi minyak sebelum meneruskan perjalanan ke Long Lellang.
Perkara itu didedahkan oleh seorang pemilik kedai runcit di kawasan berkenaan, Bungan Tegong.
Jelasnya, helikopter terbabit mendarat di Long Siut tengahari semalam (8 September) sebelum penumpangnya singgah di kedai runcit untuk berehat, minum serta membeli beberapa barangan.
Kongsi Bungan yang berusia 61 tahun, kesemua kru terbabit menghabiskan masa kira-kira satu jam di kedainya.
Malah, dia juga sempat berbual dengan salah seorang daripada mereka iaitu seorang wanita yang memakai tudung.
“Dia beritahu saya mereka hendak ke Long Lellang. Dia bertanya sama ada saya pernah ke sana.
“Saya beritahu dia saya tidak pernah ke sana. Kemudian saya bertanya berapa lama masa diperlukan untuk terbang dari Long Siut ke Long Lellang dan dia kata kira-kira 10 minit,” katanya.
Pemilik Kedai Runcit Dedah Kenal Juruterbang, Sering Singgah Long Siut Untuk Isi Minyak
Tambah Bungan lagi, dia juga turut mengenali juruterbang yang mengendalikan penerbangan FDS itu apatah lagi dia sering singgah ke Long Siut untuk mengisi minyak.
“Juruterbang itu selalu menerbangkan helikopter dan kerap mengisi minyak di sini. Sebab itu saya mengenalinya,” katanya.
“Ada Janji Dengan Pesakit” – Pemilik Kedai Runcit Kongsi Kata-Kata Terakhir Salah Seorang Penumpang Sebelum Berlepas
Kongsi Bungan, kru helikopter terbabit turut memaklumkan kepadanya bahawa cuaca tidak begitu baik kerana jerebu sebelum mereka berlepas.
“Saya bertanya kepada mereka mengapa masih meneruskan perjalanan jika mereka tahu keadaan cuaca terjejas akibat jerebu.
“Salah seorang daripada mereka menjawab ‘tak boleh mak cik sebab kami sudah ada janji dengan pesakit’,” jelasnya.
Perkara sama turut dikongsikan oleh seorang pengguna Facebook, Helena YG yang dipercayai anak kepada Bungan.
Menerusi hantaran tersebut, Helena berkongsi suasana kedai runcit milik bapanya itu serta kata-kata terakhir yang dikongsikan oleh anggota pasukan perubatan tersebut kepada ibunya.
Sekadar info, Long Siut merupakan penempatan masyarakat Kenyah di kawasan pedalaman Baram, Sarawak.
Perjalanan ke kawasan itu mengambil masa selama sehari jika menggunakan kenderaan pacuan empat roda dari Long Lellang.
Terdahulu, helikopter BO-105 yang membawa lima individu termasuk juruterbang dilaporkan terhempas dan terbakar berhampiran Lapangan Terbang Long Lellang, Ulu Baram.
Insiden itu turut disahkan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dalam satu kenyataan petang semalam.
Jelas CAAM, pihaknya menerima notifikasi mengenai kejadian terbabit daripada Perkhidmatan Maklumat Penerbangan pada jam 3.58 petang.
Lima mangsa yang dikenal pasti adalah:
- Dr Ainul Baraah Kamaruddin (Pegawai Perubatan)
- Kapten Zainol (Juruterbang)
- Alexson Adit (Penolong Pegawai Perubatan)
- Debra Moset (Jururawat)
- Jessie Paya (Jururawat)
Baca Artikel Berkaitan:
Nahas Helikopter: Residen Miri Sahkan Juruterbang & 4 Petugas KKM Meninggal Dunia


