‘Kami tak mahu pampasan, mahu tanah warisan dikekalkan’ – Rafidah

12 Sep 2025 • 4:51 PM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

image is not available

Aktivis, Rafidah Ibrahim menegaskan bahawa pampasan wang daripada pemaju bukan isu utama, sebaliknya mereka mahu tanah warisan yang didiami kekal untuk generasi akan datang.

Katanya, operasi pengosongan kediaman itu menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960, dianggap sebagai paksaan terhadap penduduk.

“Kami tak mahu pampasan, tak nak duit pemaju. Kami nak tanah warisan ini kekal turun-temurun untuk warisan kami,” tegasnya.

Menurut beliau, Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) masih belum dilaksanakan, justeru hak milik individu perlu tetap dihormati tanpa mengira pendirian majoriti atau minoriti penduduk.

“Kalau ada jiran yang bersetuju dengan pemaju, hak mereka yang tidak bersetuju tidak boleh dipaksa. Jangan mainkan isu majoriti dan minoriti kerana URA belum ada,” katanya.

Baca juga:

Dalam pada itu, Rafidah turut meluahkan rasa kesal dengan cara operasi pengosongan dijalankan pada Khamis yang disifatkannya kasar dan tanpa pertimbangan.

“Saya memang berada di sini. Pagi semalam ketika mereka buat kerja, kami semua berada di dalam rumah. Waktu itu anak saya sedang tidur.

“Sangat rakus pemaju memecahkan pintu rumah tidak peduli, tidak fikir. Tekanan orang dewasa pun boleh rasa apatah lagi budak-budak,” katanya.

Terdahulu, suasana kecoh berlaku di Kampung Sungai Baru ketika operasi pengosongan kediaman apabila Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman mengalami kecederaan di kepala selepas dipercayai dibaling batu.

Penduduk Kampung Sungai Baru sebelum ini menolak tawaran pembangunan semula oleh pemaju dengan alasan nilai pampasan tidak sepadan dan bimbang tanah warisan mereka hilang selamanya.

Sumber: Sinar Harian