SUNGAI PETANI - Dua lelaki direman pada Jumaat bagi membantu siasatan insiden letupan tong gas di tapak ekspo dekat Dataran Jam Besar di sini dalam kejadian pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, kedua-dua lelaki berusia 38 dan 18 tahun itu dipercayai mempunyai kaitan dengan insiden serta penjualan belon kanak-kanak di tapak ekspo terbabit.
"Mereka (kedua-dua individu) dipercayai sedang membancuh bahan kimia," katanya.
Menurutnya, individu pertama direman selama empat hari manakala seorang lagi dibenarkan reman selama sehari.
Kes disiasat bawah Seksyen 304A Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan kematian seseorang dengan melakukan sebarang tindakan cuai.
Dalam insiden terbabit, seorang lelaki maut manakala tiga lagi cedera selepas sebuah tong gas meletup secara tiba-tiba.
Peniaga minuman, Azmi Ahmad, 42, maut akibat kecederaan parah di tangan kanan dan dada sebelah kanan manakala tiga lagi lelaki berusia 15, 36 dan 49 tahun, dilaporkan cedera di beberapa bahagian badan.
Difahamkan, tong gas berkenaan digunakan untuk mengisi belon kanak-kanak bagi tujuan perniagaan di tapak ekspo terbabit.
ARTIKELBERKAITAN: Seorang maut, tiga cedera dalam letupan di tapak ekspo





