“Kami tidak akan gentar” – Diserang Dron, Aktivis Sumud Flotila Tidak Akan Berundur

Entertainment
24 Sep 2025 • 11:37 AM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Penganjur Global Sumud Flotilla (GSF) mendakwa bot mereka yang membawa bantuan ke Gaza telah disasarkan dengan dron dan letupan ketika berada berhampiran Greece.

Dalam kenyataan yang dikongsi, mereka mendakwa ‘beberapa dron, objek tidak dikenali dijatuhkan, komunikasi diganggu dan letupan kedengaran dari sejumlah bot’.

Dalam laporan The Guardian, mereka bagaimanapun menegaskan tidak akan gentar dengan insiden tersebut.

Aktivis hak asasi manusia dari Jerman, Yasemin Acar, berkata lima kapal terlibat dalam serangan itu. Beliau sebelum ini turut memaklumkan aktivis melihat ’15 hingga 16 dron’ sambil radio mereka terganggu dengan muzik kuat.

Satu rakaman yang dimuat naik di Instagram rasmi flotila berkenaan turut menunjukkan letupan dari kapal Spectre. Aktivis Brazil, Thiago Avila, mendakwa empat bot telah disasarkan dengan dron yang menjatuhkan peranti, sebelum satu lagi letupan kedengaran.

Awal bulan ini, GSF pernah mendakwa berdepan serangan dron ketika berada di Tunisia, namun kerajaan Tunisia menafikan laporan tersebut.

Flotila itu yang membawa aktivis antarabangsa, termasuk aktivis iklim Sweden Greta Thunberg, berlayar dari Barcelona pada akhir Ogos lalu untuk memecahkan kepungan dan memberi bantuan kepada penduduk Gaza, Palestin.

Kini, mereka dilaporkan menggerakkan 51 kapal, kebanyakannya berlabuh berhampiran pulau Crete, Greece.

Israel sebelum ini menegaskan tidak akan membenarkan flotila tersebut sampai ke Gaza dan pernah menggagalkan cubaan aktivis melalui laut pada bulan Jun dan Julai.

 

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.