Kami tidak pernah bincang politik di rumah– Dr. Solehin Saleh

LocalPolitics
6 Nov 2026 • 11:15 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Kami tidak pernah bincang politik di rumah– Dr. Solehin Saleh

PETALING JAYA: “Bab bendera atau politik, letaklah di luar pagar rumah. Bila ada dalam rumah, semuanya adalah anak Saleh dan Rosnah, tiada hal parti boleh dibincang hatta di meja makan.”

Itulah kata calon Parti Bersama Malaysia (Bersama) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban, Dr. Muhammad Solehin Saleh ketika berkongsi mengenai hubungannya dengan adiknya, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh.

Menerusi hantaran di aplikasi Threads, Dr. Muhammad Solehin berkata, pesanan supaya hal kepartian tidak dibincangkan di rumah adalah antara nasihat arwah bapa dan ibunya yang dipegang sejak dahulu.

“Didikan ayah dan mak kami menjadikan adik beradik kami matang uruskan macam-macam benda.

“Bincang selalu hal politik memang bawa racun toksik dan masalah. Betapa ramai orang hilang keluarga, gaduh sesama kawan dan pernah saya jumpa orang bercerai soal politik,” katanya.

Meskipun bertanding atas tiket parti berbeza, Dr. Muhammad Solehin berkata, perbualannya dengan Dr. Muhamad Akmal lebih banyak berkisar tentang keluarga, haiwan peliharaan dan minat mereka terhadap motosikal.

“Dari sembang bab bendera, saya dengan Akmal banyak sembang bab ikan tilapia, kambing, anak-anak kami sendiri.

“Oleh sebab dua-dua juga minat motor dan ‘ride’, kami sendiri juga selalu saling ‘racun-meracuni’ kalau ada barang bagus untuk motor masing-masing,” katanya.

Dalam pada itu, Dr. Muhammad Solehin turut mengingatkan orang ramai supaya mengutamakan hubungan dengan ibu bapa, adik-beradik dan rakan-rakan meskipun berbeza pandangan politik.

“Politik kepartian bukanlah aqidah, ia hanya wadah.

“Paling penting, jaga hubungan dengan ibu ayah, adik beradik dan kawan-kawan. Itulah saham akhirat Allah beri dan nikmat besar buat kita,” katanya.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini, Dr. Muhammad Solehin bertanding di DUN Bemban, manakala Dr. Muhamad Akmal mewakili Barisan Nasional (BN) di DUN Merlimau.– UTUSAN

 

The post Kami tidak pernah bincang politik di rumah– Dr. Solehin Saleh appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved