Kampung Patau-Patau Dua angkat identiti masyarakat kampung air Labuan

12 Oct 2026 • 12:02 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Kampung Patau-Patau Dua angkat identiti masyarakat kampung air Labuan

LABUAN: Keunikan kehidupan masyarakat kampung air yang berteraskan tradisi, hubungan kekeluargaan dan kegiatan nelayan menjadikan Kampung Patau-Patau Dua antara 10 tapak geopark budaya di Wilayah Persekutuan Labuan yang berpotensi diketengahkan sebagai warisan identiti tempatan.

Perkampungan yang mencerminkan kehidupan masyarakat Melayu Brunei itu mempunyai keistimewaan tersendiri menerusi seni bina rumah bertiang, kehidupan yang rapat dengan laut serta amalan kemasyarakatan yang diwarisi sejak turun-temurun.

Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan Labuan, S. Roslee Matusin berkata,
selain menjadi tempat kediaman, Kampung Patau-Patau Dua turut menawarkan pengalaman mengenali cara hidup masyarakat yang menjadikan laut sebagai sumber rezeki.

“Ia sekali gus membuka ruang untuk memperkenalkan warisan budaya tempatan kepada pengunjung dari dalam dan luar negara,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Image from: Kampung Patau-Patau Dua angkat identiti masyarakat kampung air Labuan
S. ROSLEE MATUSIN

Menurut S. Roslee, kekayaan budaya kampung itu turut terserlah menerusi sajian tradisional seperti ikan bakar, gulai masak lemak rebung, kuih Ardam dan rendang ayam yang memperkenalkan cita rasa tempatan kepada pengunjung.

Katanya, gabungan warisan kehidupan kampung air, kegiatan nelayan, makanan tradisional dan keramahan penduduk menjadikan Kampung Patau-Patau Dua mempunyai asas untuk dikembangkan sebagai destinasi pelancongan berasaskan komuniti.

“Pendekatan itu juga berpotensi membuka peluang ekonomi kepada penduduk melalui penyediaan makanan tradisional, perkhidmatan pemandu komuniti, penjualan hasil laut serta produk tempatan,” katanya.

Pada masa sama, para pelancong berpeluang mendekati kehidupan masyarakat setempat menerusi aktiviti menangkap ketam, yang memberikan gambaran mengenai kemahiran dan pengalaman penduduk dalam mengusahakan hasil laut.

Katanya, aktiviti berkenaan bukan sekadar pengalaman pelancongan, sebaliknya memperlihatkan hubungan rapat komuniti dengan persekitaran laut yang menjadi sebahagian daripada identiti dan kehidupan seharian mereka.

“Bagaimanapun, usaha memperkukuh potensi berkenaan memerlukan perancangan tersusun, promosi berkesan dan sokongan pihak berkaitan, selain penekanan terhadap kebersihan, keselamatan serta pemeliharaan persekitaran kampung.

“Pada masa sama, penglibatan penduduk perlu diberikan keutamaan supaya pembangunan pelancongan dapat memberi manfaat secara langsung kepada komuniti, tanpa menjejaskan kelestarian budaya dan kehidupan masyarakat kampung air,” katanya.

Dengan keunikan yang dimiliki, Kampung Patau-Patau Dua bukan sahaja berpotensi menjadi tarikan pelancongan Labuan, malah berperanan sebagai ruang untuk memelihara dan memperkenalkan identiti masyarakat Melayu Brunei kepada generasi akan datang. – UTUSAN 

The post Kampung Patau-Patau Dua angkat identiti masyarakat kampung air Labuan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved