
LONDON: Kemarau luar biasa yang melanda England mendedahkan semula tinggalan sebuah kampung yang dirobohkan dan ditenggelamkan kira-kira 50 tahun lalu bagi membina takungan air.
Struktur batu serta kesan tapak bangunan di Nether Hambleton kini dapat dilihat semula susulan penyusutan paras air di takungan Rutland Water, di East Midlands.
Lebih 3,000 ekar tanah ditenggelamkan pada 1970-an bagi membina tasik buatan manusia yang ketika itu merupakan tasik terbesar seumpamanya di Eropah.
Penduduk kampung berkenaan kemudian dipindahkan dan ditempatkan semula di kawasan sekitar.
Antara bangunan yang ditenggelamkan itu termasuk rumah dari abad ke-18 serta kawasan pertanian yang digunakan untuk menanam barli bagi menghasilkan bir lager untuk pasaran Jerman, selain gandum yang dibeli syarikat Hovis bagi pembuatan roti.
Tinggalan Nether Hambleton masih berada di dasar lembah, antara Semenanjung Hambleton di utara dan perkampungan kecil Lyndon di selatan.
Keadaan itu berlaku ketika England dilanda kemarau dan beberapa kawasan sudah tidak menerima hujan selama dua bulan, termasuk minggu ini.
Pejabat Meteorologi Britain mengeluarkan amaran cuaca panas ekstrem buat kali kedua dalam tempoh empat tahun, dengan memberi amaran orang ramai berkemungkinan mengalami kesan buruk terhadap kesihatan.
Satu lagi amaran cuaca panas ekstrem turut dikeluarkan ketika gelombang haba pada Jun lalu, yang merupakan kali pertama amaran seumpama itu dikeluarkan sejak 2022.
Suhu tertinggi pernah direkodkan di Britain ialah 40.3 darjah Celsius di Coningsby, Lincolnshire pada 19 Julai 2022.- AGENSI
The post Kampung ‘timbul’ selepas 50 tahun tenggelam appeared first on Utusan Malaysia.


