Kanak-kanak 10 Tahun Maut Terlibat Kemalangan Dengan Lori

26 Dec 2025 • 12:36 AM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Kanak-kanak 10 Tahun Maut Terlibat Kemalangan Dengan Lori

Seorang kanak-kanak lelaki tempatan berusia 10 tahun maut selepas terbabit dalam kemalangan melibatkan sebuah motosikal dan lori di Jalan Kampung Chenih Pahi, Kuala Krai pagi tadi.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Krai, DSP Mohd Maizan Mustaffa, pihak polis menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira jam 11.30 pagi melalui anggota bertugas Bilik Gerakan IPD Kuala Krai.

Jelas beliau, hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku sekitar jam 10.55 pagi.

Kemalangan dipercayai berlaku ketika lori terbabit datang dari arah Jalan Utama Kota Bharu – Gua Musang menghala ke Kampung Chenih untuk menghantar tanah, manakala motosikal yang dibonceng mangsa keluar dari Kampung Chenih.

Apabila tiba di lokasi kejadian, motosikal tersebut dipercayai telah melanggar bahagian kanan lori yang datang dari arah bertentangan.

Akibat hentaman kuat itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Penunggang motosikal pula hanya mengalami kecederaan ringan.

Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultan Ismail Petra untuk proses bedah siasat.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Dalam pada itu, polis memohon orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tampil membantu siasatan. Hubungi Balai Polis Trafik IPD Kuala Krai atau Pegawai Penyiasat, Insp. Nurhasmira Tajol di talian 09-966 6222.

Sumber: Polis Daerah Kuala Krai 

The post Kanak-kanak 10 Tahun Maut Terlibat Kemalangan Dengan Lori appeared first on Siakap Keli.