
Sekurang-kurangnya empat rakyat Palestin, termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun, terbunuh manakala beberapa yang lain cedera selepas tentera Israel melancarkan siri serangan baharu di Semenanjung Gaza pada Isnin. Insiden berkenaan berlaku di tengah-tengah siri pelanggaran harian terhadap perjanjian gencatan senjata yang dimeterai tahun lalu.
Menurut sumber perubatan dari Hospital Nasser di selatan Gaza, tiga jenazah yang terdiri daripada dua pemuda dan kanak-kanak perempuan berkenaan dibawa ke hospital berikutan serangan udara serta tembakan peluru hidup di kawasan Bir 19, barat Khan Younis. Kanak-kanak tersebut dilaporkan maut akibat ditembak ketika berada di dalam khemah perlindungan keluarganya. Dalam kejadian berasingan di lokasi sama, seorang lagi penduduk tempatan, Anas Akram al-Humaida, turut terkorban manakala empat lagi mengalami kecederaan.
Saksi di tempat kejadian mengesahkan sebuah dron tentera Israel telah melepaskan beberapa bedilan ke atas kawasan penempatan sementara yang menempatkan pelarian Palestin. Pada masa yang sama, kenderaan tentera dan kumpulan bersenjata yang disokong Israel turut melepaskan tembakan bertubi-tubi ke arah khemah pelarian di kawasan sekitarnya. Bedilan artileri dan tembakan berat turut dilaporkan berlaku di bahagian timur Khan Younis.
Aksi pencerobohan tersebut turut merebak ke bahagian tengah dan utara Gaza. Di Deir al-Balah, seorang wanita mengalami kecederaan akibat tembakan tentera Israel yang membuat kemaraan terhad di kawasan berkenaan. Sementara itu, artileri dan kereta kebal Israel yang diletakkan di garisan penampung (Yellow Line) turut membedil beberapa kawasan penempatan pelarian di timur Bandar Gaza, khususnya di kejiranan Shujaiya dan Tuffah.
Meskipun perjanjian gencatan senjata secara rasmi berkuat kuasa sejak 10 Oktober 2025, angka korban terus meningkat berikutan serangan yang berterusan. Menurut kementerian kesihatan tempatan, sekurang-kurangnya 1,551 rakyat Palestin telah terkorban dan 5,573 lagi cedera sejak perjanjian itu dimeterai. Ini menjadikan jumlah keseluruhan korban di Gaza melebihi 74,000 jiwa sejak konflik bermula pada Oktober 2023.
Sumber asal: Agensi Anadolu / TRT World


