Kanak-kanak 8 tahun jadi wira, pengebumian Khizir dihadiri ribuan orang

26 Jun 2026 • 11:16 AM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

Ribuan orang menghadiri pengebumian Khizir Derbichev di Kampung Troitskaya, Ingushetia, Rusia.

Pengebumian kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun, Khizir Derbichev, di Kampung Troitskaya, Daerah Sunzha, Republik Ingushetia, Rusia, menjadi perhatian luas apabila ia tular dengan kehadiran ribuan orang yang datang memberi penghormatan terakhir.

Menurut laporan Georgia Today dan Caucasian Knot, mayat Khizir ditemui di Sungai Sunzha selepas operasi pencarian besar-besaran selama lapan hari yang melibatkan puluhan ribu orang. Operasi itu bermula pada 15 Jun di kawasan Karabulak selepas kanak-kanak berkenaan dilaporkan hilang ketika insiden lemas.

Menjelang 18 Jun, pihak berkuasa tempatan memaklumkan kira-kira 4,000 orang telah digerakkan bagi menyertai usaha pencarian. Usaha itu turut disertai pasukan penyelamat, sukarelawan serta penduduk dari pelbagai wilayah sekitar.

Sokongan juga datang dari republik jiran seperti Chechnya, Dagestan, North Ossetia dan Kabardino-Balkaria. Malah, anggota keselamatan serta pegawai kerajaan turut dilaporkan terlibat dalam operasi tersebut, selain sokongan simbolik termasuk doa daripada pihak tertentu di Chechnya.

Baca juga:

Pada hari kelapan pencarian, mayat Khizir ditemui di Sungai Sunzha, kira-kira 10 kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang, sekali gus menamatkan operasi berskala besar yang dilaporkan melibatkan lebih 20,000 orang secara keseluruhan.

Insiden tragis itu berlaku ketika Khizir sedang bermain bersama dua rakannya di kawasan sungai di kampung Yandare, daerah Nazran. Salah seorang rakannya tergelincir dan dihanyutkan arus deras sebelum Khizir segera terjun untuk menyelamatkannya. Dia berjaya membantu rakannya ke tempat selamat, namun dirinya sendiri gagal melawan arus dan dihanyutkan.

Pengebumian Khizir berlangsung pada petang hari penemuan mayatnya dan dihadiri ribuan orang termasuk sukarelawan, pasukan penyelamat, penduduk setempat serta tokoh agama. Suasana pilu menyelubungi upacara itu apabila jenazah diiringi melalui kampung dengan laungan takbir sebagai tanda penghormatan terakhir.

Kisah keberanian Khizir kemudian tersebar luas di seluruh rantau Caucasus dan Rusia, dengan ramai menyifatkannya sebagai simbol pengorbanan seorang kanak-kanak yang sanggup mempertaruhkan nyawa demi menyelamatkan rakannya.

The post Kanak-kanak 8 tahun jadi wira, pengebumian Khizir dihadiri ribuan orang appeared first on The Reporter.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved