Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.

Hadir di dunia hanya seketika, namun meninggalkan kesan yang kekal di hati ramai. Pada usia lapan tahun, kanak-kanak lelaki ini membuktikan bahawa keberanian tidak mengenal usia apabila sanggup mempertaruhkan nyawa demi menyelamatkan rakannya yang terjatuh ke dalam sungai.
Pengorbanan wira kecil itu telah mengundang sebak apabila ribuan orang hadir mengiringi perjalanan terakhirnya sebagai tanda penghormatan.
Kanak-kanak itu, Khizir Derbichev dilaporkan meninggal dunia selepas dihanyutkan arus deras dalam satu insiden di Sungai Sunzha, Caucasus Utara, Rusia.

Cuba selamatkan rakan lemas
Menurut laporan, kejadian berlaku ketika Khizir berada di tepi sungai bersama dua rakannya sebelum salah seorang daripada mereka, Adam, tergelincir lalu terjatuh ke dalam sungai.
Tanpa memikirkan keselamatan diri, Khizir terus terjun ke dalam sungai bagi menyelamatkan rakannya, manakala seorang lagi rakan mereka, Muhammad, berlari mendapatkan bantuan daripada orang awam.
Adam akhirnya berjaya diselamatkan selepas berpaut pada akar pokok dengan bantuan orang ramai yang kebetulan melalui kawasan berkenaan. Namun, Khizir pula dihanyutkan arus deras dan gagal diselamatkan.
Operasi mencari mangsa bermula sejak 15 Jun dengan melibatkan kira-kira 4,000 anggota penyelamat serta sukarelawan dari beberapa wilayah termasuk Chechnya, Dagestan, Ossetia Utara dan Kabardino-Balkaria.
Artikel berkaitan: “Yang dewasa hanya tengok, yang budak kecik pulak tolong” – Kejadian Langgar Lari Tarik Perhatian Ramai
Artikel berkaitan: Berjaya Selamatkan Rakan Yang Hampir Lemas, Murid 12 Tahun Guna Ilmu PBSM

Malah, pihak berkuasa Chechnya memaklumkan anak-anak pemimpin republik itu, Ramzan Kadyrov, turut mengadakan doa khas agar Khizir segera ditemukan, sementara anggota keselamatan serta pegawai kerajaan turut sama menyertai usaha pencarian tersebut.
Selepas lapan hari operasi pencarian, kanak-kanak itu ditemui kira-kira 10 kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang.
Jenazah Allahyarham dikebumikan di Troitskaya pada Isnin, sekali gus menamatkan operasi pencarian besar-besaran yang mendapat perhatian masyarakat setempat.
View this post on Instagram
Dalam video yang kini tular di media sosial itu, jenazah Khizir diusung ke tanah perkuburan sambil diiringi laungan takbir oleh penduduk, sukarelawan dan orang ramai yang memenuhi kampung berkenaan.
Dikhabarkan, ribuan orang termasuk sukarelawan dari pelbagai wilayah, anggota penyelamat dan tokoh agama hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Khizir.
Sumber: Sinar Harian, Instagram
Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.




