
Seramai 103 murid sekolah rendah alami keracunan makanan
Kanak-Kanak Alami Keracunan Makanan Beramai-Ramai Di Sabah, Disyaki Berpunca Dari Nasi Lemak. Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Dr. Asits Sanna, dalam kenyataan akhbar beliau pada hari Rabu menyatakan bahawa sejarah lengkap pergerakan serta pendedahan kes kepada makanan masih dalam siasatan.
“Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKN) melalui Pejabat Kesihatan Kawasan (PKK) Kota Kinabalu telah menerima notifikasi mengenai wabak keracunan makanan dari sebuah klinik kesihatan kerajaan dan hospital pada 22 Julai, jam 2.09 petang.

Wabak Keracunan Makanan di Pulau Gaya: Apa yang Sebenarnya Berlaku?
“Wabak ini melibatkan seramai 103 murid di sebuah sekolah rendah di Pulau Gaya, Kota Kinabalu. Kes-kes mengalami gejala muntah, cirit-birit dan sakit perut.
“Seramai lapan kes telah dimasukkan ke wad, manakala 95 kes dirawat sebagai pesakit luar. Semua kes berusia antara enam hingga 12 tahun dan berada dalam keadaan stabil, tanpa kematian dilaporkan.
“Siasatan awal mendapati semua kes mempunyai sejarah makan nasi lemak sekitar jam 9.50 pagi pada 22 Julai. Namun, sejarah lengkap pergerakan dan pendedahan kes kepada makanan masih dalam siasatan,” katanya.
Dr. Asits menyatakan bahawa langkah kawalan yang telah dijalankan termasuk memberikan rawatan yang sesuai, menjalankan pengesanan kes aktif (ACD), pendidikan kesihatan kepada individu terlibat serta mengambil sampel makanan, minuman dan persekitaran untuk tujuan pengesahan punca kejadian.
Menurut beliau, keracunan makanan adalah penyakit yang disebabkan oleh pengambilan makanan atau minuman yang tercemar. Ia boleh disebabkan oleh bakteria atau toksin bakteria, virus, parasit, bahan kimia seperti racun serangga dan racun rumpai, logam berat, tumbuhan beracun seperti cendawan dan makanan laut seperti kerang.
Sebagai langkah pencegahan, JKN menasihati orang ramai agar sentiasa mengamalkan pelbagai langkah untuk mencegah keracunan makanan seperti, sentiasa menjaga kebersihan dengan membasuh tangan dengan air dan sabun sebelum mengendalikan makanan, memastikan kawasan dapur bebas dari serangga, perosak dan haiwan lain, menggunakan peralatan yang berasingan untuk makanan mentah bagi mengelakkan pencemaran makanan yang dimasak serta memasak makanan dengan sempurna dan makan dalam tempoh tidak melebihi empat jam.
Dr. Asits juga menasihati orang ramai agar menyimpan makanan sedia dimakan pada suhu yang sesuai di dalam peti sejuk dan tidak melebihi tempoh yang ditetapkan, menggunakan bahan mentah segar dan air bersih untuk memasak serta mengamalkan konsep lihat, hidu dan rasa.
Pihak sekolah juga dinasihatkan agar sentiasa memantau dan menjalankan pemeriksaan ke atas makanan yang dijual atau dibekalkan di kawasan sekolah.
JKN Sabah juga menasihatkan orang ramai agar segera mendapatkan rawatan jika mengalami gejala keracunan makanan.
Menurut Dr. Asits, JKN Sabah dengan kerjasama PKK Kota Kinabalu akan terus memantau situasi kejadian ini dan akan memaklumkan perkembangan terkini dari semasa ke semasa.


