Seorang wanita berkongsi pengalaman cemas apabila anak perempuannya mengalami kecederaan selepas menyentuh besi penghadang yang dilapisi fiber kaca halus di kawasan rekreasi Lumut. Kejadian berlaku ketika keluarga itu sedang bersantai sambil menikmati suasana malam di tepi laut.
Menurut Fazilah Rahman, anaknya, Hani, mengadu sakit di kedua-dua tapak tangan selepas menyentuh besi penghadang tersebut.
Pada awalnya, beliau menyangka anaknya hanya merasa gatal biasa. Namun, selepas diperiksa, kesan fiber kaca halus telah memasuki kulit tangan anaknya, menyebabkan rasa sakit yang berterusan.
“Saya ingatkan cuma gatal biasa, tapi bila tengok semula, rupa-rupanya ada fiber kaca halus yang melekat. Patutlah dia menangis sakit,” katanya.
Fazilah dan suaminya segera mengambil langkah awal dengan mencuci tangan anak mereka menggunakan air, kemudian menggunakan pita pelekat untuk mencabut fiber kaca yang dapat dilihat. Minyak gamat turut disapu untuk membantu mengurangkan kesan sakit.
Kejadian ini mendorong Fazilah untuk memberi peringatan kepada orang ramai supaya lebih berhati-hati, terutama ketika menyentuh kemudahan awam seperti besi penghadang.
Beliau juga menyeru pihak berkuasa agar segera membaik pulih besi penghadang berkenaan bagi mengelakkan kejadian sama berlaku kepada orang lain.
The post Kanak-kanak cedera akibat fiber kaca pada besi penghadang di Lumut appeared first on The Reporter.






