
PETALING JAYA – Bagai enggan lagi mulut dikunci, penyanyi antarabangsa, Shawn Mendes secara terbuka melahirkan sokongan terhadap Palestin menerusi satu hantaran lantang di media sosial.
Mendes atau nama sebenarnya, Shawn Peter Raul Mendes, 28, berkata, Gaza kini memerlukan bantuan dunia terutama golongan kanak-kanak di sana yang menanggung penderitaan hari demi hari.
“Bebaskan Palestin! Genosid sedang berlaku di hadapan mata kita. Pembunuhan tidak berperikemanusiaan di Gaza mesti dihentikan.
“Kanak-kanak dan keluarga di Palestin sudah terlalu lama menanggung penderitaan, dan mereka memerlukan bantuan kita,” katanya menerusi satu hantaran di Instagram (IG).
Pelantun lagu Treat You Better itu juga mengakui sedang mendalami isu pergolakan melibatkan Israel-Palestin selain berusaha menggunakan pengaruhnya membawa perubahan demi dunia yang lebih makmur.
Mendes yang merupakan penyanyi asal Kanada juga menyeru agar semua orang menghulurkan sumbangan kepada mereka yang ditindas dan berani bersuara menentang sebarang bentuk penindasan zalim.
“Saya sendiri sedang berusaha memperluas pengetahuan dan mendalami isu ini sedalam mungkin agar lebih memahami di mana dan bagaimana saya boleh memainkan peranan untuk membawa perubahan. Saya juga menyeru anda untuk melakukan perkara yang sama.
“Buat sahabat-sahabat dan rakan seperjuangan dalam industri seni, saya faham bahawa bukan mudah untuk bersuara. Ada kalanya, kita berasa takut untuk menyatakan pendirian secara terbuka. Saya sendiri merasai perkara itu ketika menaip hantaran ini. Namun, pada masa yang sama, saya juga merasakan bahawa saya perlu melakukan sesuatu untuk membantu.
“Semakin ramai antara kita menggunakan suara dan platform yang dimiliki untuk menyuarakan perkara ini, semakin dekat kita kepada perubahan.
“Kanak-kanak di Palestin sudah terlalu lama dipaksa untuk menjadi tabah dan berani dalam menghadapi penderitaan. Kini, tiba giliran kita untuk melakukan perkara yang sama,” coretnya yang memiliki 68.4 juta pengikut IG.
Sekitar 2025, tular laporan Mendes dilihat hadir solat Jumaat di sebuah Pusat Islam Universiti New York, Amerika Syarikat.
Gambar penyanyi yang berasal dari Kanada itu tular dalam media sosial selepas peminatnya memuat naik foto ‘selfie’ bersama.
Mendes dikatakan telah menemani rakannya iaitu penyanyi Mustafa Ahmed ke pusat islamik itu untuk menunaikan solat Jumaat.
Selain Mendes, ramai penyanyi popular dunia lantang menyuarakan sokongan terhadap Palestin termasuklah Billie Eilish, Ariana Grande, Macklemore dan Olivia Rodrigo.
Terbaharu, juara dunia Formula Satu (F1) tujuh kali, Lewis Hamilton, berkongsi detik penuh emosi selepas meluangkan masa menyantuni kanak-kanak Palestin yang dipindahkan dari Gaza ke Mesir di bawah bimbingan pertubuhan kemanusiaan, INARA (International Network for Aid, Relief and Assistance). – KOSM0! ONLINE
The post Kanak-kanak di Palestin dah terlalu lama tanggung derita – Shawn Mendes appeared first on Kosmo Online.





