
Penyanyi terkenal antarabangsa, Shawn Mendes tampil menyuarakan sokongan terhadap rakyat Palestin dengan menggesa pembunuhan di Gaza dihentikan, selain menyeru rakan artis supaya tidak takut untuk bersuara menentang penindasan.
Menerusi satu kenyataan di media sosial yang dimulakan dengan ungkapan ‘Free Palestine’ (Bebaskan Palestin), penyanyi kelahiran Kanada itu menyifatkan penderitaan yang sedang berlaku di Gaza sebagai satu genosid yang tidak boleh dibiarkan berterusan.
Penderitaan Palestin
Menurutnya, kanak-kanak dan keluarga di Palestin sudah terlalu lama menanggung penderitaan serta amat memerlukan bantuan masyarakat antarabangsa.
“Satu genosid sedang berlaku di depan mata kita. Pembunuhan tidak berperikemanusiaan di Gaza mesti dihentikan.
“Kanak-kanak dan keluarga di Palestin sudah terlalu lama menderita dan mereka memerlukan bantuan kita,” katanya.
Pelantun lagu Treat You Better itu turut memaklumkan bahawa beliau sedang berusaha mendidik diri dan mendalami isu Palestin bagi memahami keadaan sebenar serta mengenal pasti bagaimana dirinya boleh membantu.
Mendes berkata, beliau turut berkongsi beberapa organisasi yang telah menerima sumbangannya dengan harapan dapat menggalakkan orang ramai melakukan perkara sama.
Dalam pada itu, penyanyi berusia 28 tahun berkenaan mengakui bahawa tindakan menyuarakan pendirian mengenai Palestin mungkin menimbulkan rasa takut, khususnya dalam kalangan penggiat industri hiburan.
Keperluan bantu mereka yang ditindas
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa keperluan untuk membantu mereka yang sedang menderita jauh lebih penting daripada terus berdiam diri.
“Kepada rakan-rakan dan rakan artis, saya tahu mungkin menakutkan untuk bersuara. Saya sendiri merasakannya ketika menaip kenyataan ini, namun pada masa sama saya merasakan keperluan untuk melakukan sesuatu bagi membantu.
“Semakin ramai kita bersuara, semakin dekat kita kepada perubahan,” katanya.
Mendes turut mengajak orang ramai supaya mencari maklumat, menghulurkan sumbangan, memberi galakan serta menuntut pihak yang berkuasa bertanggungjawab terhadap tindakan mereka.
Beliau juga menyeru masyarakat supaya membudayakan keberanian untuk bersuara dan mempertahankan golongan yang menjadi mangsa penindasan.
“Marilah kita biasakan diri untuk bersuara dan membela mereka yang menderita akibat penindasan,” katanya.
Terdahulu, Mendes juga pernah menyuarakan kesedihannya terhadap penderitaan rakyat Gaza ketika mengadakan persembahan di Lisbon, Portugal pada Ogos 2025.
The post ‘Bebaskan Palestin’ – Shawn Mendes gesa rakan artis berani bersuara isu Gaza appeared first on The Reporter.






