Kanak-Kanak Dipukul Guna Tukul Oleh Bapa Saudara Meninggal Dunia

LocalFamily & Parenting
1 Oct 2025 • 5:08 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Selepas seminggu bertarung nyawa, kanak-kanak lelaki berusia 7 tahun, Muhammad Ammar Muhammad Badrul akhirnya meninggal dunia pada jam 3.02 petang tadi di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM).

image is not available

Bapa kanak-kanak dipukul maklumkan khabar duka

Memetik laporan daripada Harian Metro, berita duka itu dimaklumkan ibu bapanya melalui status WhatsApp yang meminta orang ramai sama-sama menghadiahkan Al-Fatihah buat arwah.

“Assalamualaikum, anak saya Muhammad Ammar da (dah) kembali ke negeri asal… sama-sama sedekahkan Al-Fatihah,” tulis bapanya, Muhammad Badrul Rameli, 31.

 

image is not available

Kanak-kanak dipukul selepas tak sedarkan diri beberapa hari

Sementara ibunya, Nur Ayuni Mohd Kamarulzaman, 29, reda dengan ketentuan Ilahi selepas doktor sebelum ini sudah memaklumkan keadaan anak sulungnya kritikal apabila jantungnya terhenti selama 14 minit.

Walaupun masih menaruh harapan, Ammar yang mengalami kecederaan parah di kepala akibat dipukul berkali-kali dengan tukul sehingga menerima lebih 50 jahitan serta pendarahan otak akhirnya menghembuskan nafas terakhir.

image is not available

Untuk rekod, kejadian tragis itu berlaku Khamis lalu di sebuah rumah kedai di Pasar Jelawat, Bachok apabila Ammar dipukul bapa saudaranya berusia 46 tahun.

Suspek kemudiannya ditemui meninggal dunia di Pantai Melawi selepas melarikan diri kira-kira tiga kilometer dari lokasi kejadian.

Salam takziah diucapkan buat keluarga Allahyarham Muhammad Ammar. Semoga rohnya ditempatkan bersama orang-orang beriman.

Sumber: Harian Metro (Nor Amalina Alias)