Kanak-Kanak Dua Tahun Meninggal Dunia Dipercayai Tertinggal Dalam Kereta Lebih Sembilan Jam Di Seremban

LocalFamily & Parenting
28 Jan 2026 • 12:46 PM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

image is not available

SEREMBAN – Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun meninggal dunia selepas dipercayai tertinggal di dalam kereta ibunya selama lebih sembilan jam dalam kejadian di Jalan Tunku Hassan, di sini, pada Selasa.

Difahamkan, ibu mangsa yang berusia 35 tahun dan bekerja di sebuah bank di kawasan berkenaan hanya menyedari anaknya masih berada di dalam kenderaan ketika mahu pulang ke rumah selepas tamat waktu kerja.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim berkata, pihak polis menerima maklumat mengenai kejadian tersebut daripada orang awam sekitar jam 6.15 petang.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam sebuah kereta jenis Proton Saga.

“Mangsa dipercayai ditinggalkan di dalam kenderaan sejak jam 8 pagi selepas ibunya terlupa menghantarnya ke rumah pengasuh sebelum pergi bekerja,” katanya dalam satu kenyataan.

Disedari Selepas Tamat Waktu Kerja

Menurut laporan Sinar Harian lagi, perkara itu hanya disedari sekitar jam 5 petang sebaik wanita berkenaan selesai bekerja sebelum mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Hospital Tuanku Jaafar.

Mayat kanak-kanak tersebut kemudiannya dihantar ke Hospital Rembau untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.

Ibu Ditahan Bantu Siasatan

Tambah Azahar, kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan ibu mangsa telah ditahan bagi membantu siasatan lanjut.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.

“Sebarang maklumat berkaitan kes boleh disalurkan kepada IPD Seremban di talian 06-6033222,” ujarnya.

Sementara itu, seorang pekerja kedai pakaian berhampiran lokasi kejadian berkata, dia bergegas keluar selepas terdengar jeritan seorang wanita dari bahagian belakang premis.

“Saya dan rakan terus pergi tengok. Kami dimaklumkan ada kanak-kanak tidak sedarkan diri dalam kereta. Orang kata ibunya bekerja di bank dekat situ dan terlupa anak tertinggal,” katanya.

Kejadian menyayat hati itu mengundang rasa pilu dalam kalangan orang ramai serta menjadi peringatan kepada ibu bapa agar sentiasa lebih berhati-hati bagi mengelakkan tragedi sama berulang. – The Malaysian Update

The post Kanak-Kanak Dua Tahun Meninggal Dunia Dipercayai Tertinggal Dalam Kereta Lebih Sembilan Jam Di Seremban appeared first on The Malaysian Update.